KUALA LUMPUR – Persoalan sama ada pelakon Diana Danielle tekad memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya, Farid Kamil akhirnya terjawab apabila dia akhirnya ke Mahkamah Rendah Syariah di sini untuk memfailkan penceraian.
Sebelum ini Diana meminta Farid menghormati permintaannya agar segera berpindah dari kediaman memandangkan mereka bakal bercerai.
“Saya tidak akan benarkan hal yang tak pernah berlaku dikatakan berlaku. Saya juga tidak mahu sebumbung lagi seperti yang sudah dimaklumkan sendiri kepadanya. Sila hormati,” katanya menerusi perkongsian dalam InstaStory.
Kenyataan pelakon filem Imaginur itu dikeluarkan susulan dakwaan Farid yang membuat pengakuan mereka masih lagi berhubung dan tinggal sebumbung.
Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson, 32, tiba pada pukul pukul 9.15 pagi dengan mengenakan jubah hitam bersama peguam syarienya Datuk Akberdin Abdul Kader.
Difahamkan permohonan dibuat mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 atas alasan tiada persefahaman.
Bagaimanapun pada ketika ini suaminya Farid atau nama penuhnya Farid Kamil Zahari, 43, tidak hadir ke mahkamah.
Malah, pelakon dan pengarah terbabit turut menyifatkan kemelut rumah tangga yang berlaku buat kali kedua bersama isterinya itu sekadar perselisihan faham kecil.
Minggu lalu, dunia hiburan gempar apabila Diana mengumumkan mahu memfailkan perceraian buat kali kedua menerusi perkongsian dalam Instagram Story.
Difahamkan, ketika itu Farid sedang menjalani penggambaran filem baharu bertajuk Bisikan Dosa di Kuang, Selangor.
Sebelum ini, pada 10 Mac tahun lalu, Diana pernah memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling di Subang Bestari.
Ketika itu alasan yang diberikan adalah tiada persefahaman, sudah berlaku shiqaq dan tidak dapat lagi hidup bersama sebagai suami isteri.
Farid dan Diana kemudian sah bercerai talak satu menerusi aplikasi Google Meet pada 10 Ogos 2023, namun mereka rujuk sebulan kemudian.
Pasangan terbabit mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad, 11, dan Nur Aurora, 9. – KOSMO! ONLINE