Derita Jadi Mangsa Sindiket Pekerjaan Di Myanmar

0
132
Foto: Berita Harian

KUALA LUMPUR: Akibat terpedaya dengan bayaran upah RM10,000 untuk bekerja sebagai jurubina selama seminggu di Thailand, seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia sehingga akhirnya dijadikan tebusan di Myanmar.

Mangsa berusia 28 tahun itu dipaksa membayar $8,000USD (RM39,000) kepada sindiket, sekiranya ingin dibebaskan dan pulang ke Malaysia.

Selain itu, mangsa yang dipaksa bekerja sebagai ejen scammer itu turut dipukul dan dipaksa makan daging khinzir.

Perkara itu didedahkan ibu dan abang ipar mangsa ketika ditemui pada satu sidang media bersama Pertubuhan Kemanusiaan Malaysia (MHO) di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Cabang Keadilan Segambut, Deric Teh dan Pegawai Perhubungan Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Daniel Khoo.

Ibu mangsa, Nur Aniyah Matramin, 54, berkata kawan baik kepada anak kelima daripada enam beradik itu memperkenalkan pekerjaan terbabit kepada anaknya dengan janji pendapatan lumayan untuk berkerja selama seminggu di negara jiran.

Katanya, meskipun sudah dinasihati oleh ahli keluarga dan majikan lamanya, anaknya itu masih enggan mendengar dan meneruskan niatnya untuk bekerja di Thailand.

“Sebelum ini anak saya pernah dibantu oleh kawan baiknya itu, sebab itu anak percaya kepada tawaran yang diperkenalkan kawan dia.

“Sebelum ini anak saya berkerja di sebuah pusat cuci kereta. Tapi alasannya untuk bekerja di Thailand tu sebab nak cari duit untuk raya.

“Pada 10 Mac lalu, sebelum anak berlepas ke Thailand, saya masih boleh hubungi dia tetapi selepas itu memang tak dapat dihubungi dah,” katanya.

Bagaimanapun, peniaga berasal Kampung Baru itu berkata, baru-baru itu, anaknya itu menghubungi beliau menggunakan telefon rakannya dan menceritakan hal sebenar yang berlaku.

“Saya dan ahli keluarga memohon bantuan pihak MHO dan kerajaan untuk bantu bawa kembali anak saya dengan selamat,” katanya.

Sementara itu, Daniel berkata, pihaknya akan berganding bahu dengan kerajaan dan berusaha sedaya upaya untuk membawa kembali mangsa pulang ke tanah air.

“Kita akan usaha sedaya upaya dan secepat mungkin untuk bawa dia kembali. Kita juga akan bekerjasama dengan Kementerian Luar.

“Saya ingin menasihatkan agar golongan muda mendengar nasihat ibu bapa dan keluarga selain tidak mudah percaya kepada kawan sendiri.,” katanya.

Daniel turut mengingatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dengan tawaran kerja yang menjanjikan pulangan lumayan untuk kerja yang mudah atau singkat terutama di luar negara.

“Sebelum terima tawaran kerja, tolong semak dahulu latar belakang syarikat. Orang ramai boleh semak dengan agensi berkaitan atau Kementerian Luar.

“Kalau boleh minta syarikat berkenaan sediakan permit kerja di negara terbabit terlebih dahulu, sebab kita tahu sekarang banyak isu permit palsu,” katanya.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here