Dendam Dan Cemburu Buta Punca Lelaki Bakar Kereta

0
50
Foto: Sinar Harian

BEAUFORT – Angkara dendam dan cemburu punca seorang lelaki hilang pertimbangan membakar sebuah kenderaan dalam kejadian di Membakut dekat sini pada Sabtu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, lelaki berusia 30-an telah membakar kereta jenis Toyota Altis milik seorang lelaki yang juga pengadu dalam kes ini.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintenden Ismail Abdullah berkata, hasil siasatan mendapati kejadian berlaku ketika mangsa tiada di rumah namun dimaklumkan oleh abang iparnya bahawa kereta telah dibakar.

“Abang ipar pengadu memaklumkan suspek telah bertindak masuk ke dalam kawasan rumah pengadu menggunakan sebuah kenderaan dan bertindak membuka pintu kereta pengadu dan membuang sesuatu dalam kereta terbabit.

“Suspek kemudian berlari meninggalkan lokasi dengan tergesa-gesa dan abang ipar pengadu bertindak memeriksa kenderaan tersebut sebelum mendapati bahagian dalam kereta tersebut telah terbakar sehingga menyebabkan kerugian sebanyak RM20,000,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Susulan kejadian itu, Ismail berkata, satu tangkapan telah dibuat oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort di sebuah rumah di Sipitang.

“Berdasarkan siasatan awal terhadap suspek, dia mengaku telah membakar dan menyembur kereta mangsa menggunakan cat hitam.

“Kejadian ini juga dipercayai bermotifkan dendam dan cemburu di mana suspek menuduh mangsa ada hubungan dengan isterinya,” katanya.

Sehubungan itu, Ismail berkata, suspek ditahan reman selama lima hari bermula Isnin bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan.

Sumber: Sinar Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here