Demi Jaga Ayah Sakit, Remaja Lelaki Sanggup Berhenti Sekolah

0
64
Foto: Kosmo

KOTA BHARU – Seorang remaja lelaki sanggup berhenti sekolah seawal usia 14 tahun demi menjaga bapanya yang menghidap pe­nyakit saraf dan darah tinggi sejak dua tahun lalu.

Akwa Zulfaqar Mohd. Rafie, 16, berkata, dia membuat keputusan sukar itu kerana kasihan dengan bapanya Mohd. Rafie Yaacob, 49, yang tidak mampu berjalan dan melakukan kerja berat.

Disebabkan penyakit itu, Mohd. Rafie kini terbaring dan hanya mengharapkan belas ihsan daripada rakan-rakan serta penduduk kampung yang menghulurkan bantuan bagi meneruskan kehidupan bersama dua anaknya.

“Sebelum ini saya sudah memaklumkan kepada pihak pengu­rusan sekolah bahawa saya terpaksa ponteng kelas kerana mahu menjaga bapa selepas kematian ibu.

“Sekarang hanya adik kembar (Cik Aina Zulaikha) yang masih bersekolah,” katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Kampung Kubang Bongor, Mulong, di sini baru-baru ini.

Terdahulu, Mohd. Rafei me­nerima kunjungan daripada Yang Dipertua Pertubuhan Anak Yatim Miskin Kelantan, Mhd. Nor Jusoh yang menyampaikan sumbangan perabot dan barangan kelengkapan elektrik untuk ke­selesaan keluarga tersebut.

Bercerita lanjut, Akwa Zulfaqar berkata, disebabkan penya­kit itu juga, pendapatan bapanya sebagai tukang urut terjejas.

“Kalau tiada duit, saya makan ala kadar sahaja untuk mengalas perut. Keutamaan sekarang adalah bapa saya kerana dia perlu memakan ubat.

“Paling membimbangkan, ansuran rumah sudah tertunggak lebih RM3,000 dan bil elektrik cecah RM1,000,” katanya

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam bernombor 0312002014105 atas nama Mohd. Rafie.

Sumber: Kosmo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here