Demi Harimau Malaya, ‘Abang Rambut Perang’ Sanggup Jual Motosikal Untuk Ke Qatar

0
83

PETALING JAYA – Tangisan salah seorang rakyat Malaysia di Stadium Al Janoub ketika pasukan negara menghadiahkan gol kedua dalam perlawanan menentang Korea Selatan malam tadi berjaya mencuri tumpuan seluruh dunia.

Reaksi lelaki berambut perang tersebut sempat dirakam menerusi siaran langsung memaparkan dia menjerit sambil menangis kegembiraan ketika menyambut detik bersejarah itu.

Namun apa yang lebih mengharukan, ‘abang rambut perang’ tersebut sanggup menjual motosikalnya jenis Yamaha LC bagi membiayai perjalanannya ke bumi Qatar.

Dalam satu hantaran di Facebooknya, lelaki dikenali sebagai Derrick Gan yang berasal dari Melaka, pernah memuat naik satu iklan jualan motosikalnya pada 28 Disember lepas.

Katanya, ia terpaksa melepaskan motosikal kesayangannya pada harga RM4,500 demi merealisasikan impian dan menunjukkan sokongan sepenuhnya kepada pasukan Harimau Malaya.

“Mencari dana ke Qatar. ‘Malaysia Road to Asia!’ Tumpang lalu adik nak lepaskan motor demi negara tercinta.

“First major tournament in Malaysia’s history! (Perlawanan besar pertama kali dalam sejarah Malaysia). Ada sesiapa sudi tolong tak?,” tulisnya.

Susulan itu, usaha murni Derrick bukan sahaja dipuji malah dijadikan contoh buat kebanyakan rakyat Malaysia agar melahirkan sokongan tidak berbelah-bahagi buat pasukan negara.

Rata-rata pengguna media sosial turut menyifatkan reaksi ‘abang rambut perang’ itu sungguh bernilai kerana menggambarkan perasaan seluruh rakyat Malaysia saat gol sepakan penalti dijaringkan Arif Aiman Hanapi.

“Memang aku akan ingat sampai bila-bila muka abang yang menangis masa Malaysia gol penalti tu,” komen Ain.

“Tengok abang ni bersorak tadi terus berkaca mata saya sebab tak sangka pasukan Malaysia boleh ‘leading’ dengan Korea Selatan,” komen Abe Muse.

“Reaksi ‘abang rambut perang’ mencerminkan semua reaksi rakyat Malaysia sekarang ini. Mesti dia rasa berbaloi jual motosikal semata-mata nak pergi Qatar,” komen Firdaus pula.

Terdahulu, Harimau Malaya mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya meraih keputusan seri 3-3 ke atas Korea Selatan pada aksi terakhir Kumpulan E saingan Piala Asia 2023 malam tadi (waktu Malaysia).

Pada perlawanan di Stadium Al Janoub itu, skuad kebangsaan kendalian Kim Pan-gon mengekalkan benteng ampuh dalam kesebelasan utama terdiri daripada Dion Cools, Shahrul Saad dan Dominict Tan.

Keputusan tersebut menyaksikan Korea Selatan kekal dengan kedudukan naib juara Kumpulan E dengan Bahrain muncul juara apabila menewaskan Jordan 1-0. – KOSMO! ONLINE

Sumber: Kosmo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here