DBKL Laksanakan Aliran Trafik Dua Hala Di Sebahagian Jalan Sultan Ismail

0
209
Foto: Harian Metro

Kuala Lumpur: Jalan Sultan Ismail, di sini, akan ditukar menjadi laluan dua hala selepas waktu puncak bagi menangani masalah kesesakan trafik di ibu negara terutama di sekitar Bukit Bintang, di sini.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, perubahan itu bermula Jalan Raja Chulan sehingga ke Simpang Bukit Bintang.

Menurutnya, seramai 20 anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur akan ditempatkan di sepanjang laluan itu bagi membantu melancarkan aliran trafik.

“Perubahan laluan ini sudah dilaksanakan sejak Rabu lalu bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas di tengah ibu kota.

“Penempatan 20 anggota trafik di laluan ini bagi melicinkan lalu lintas kerana masih ramai pengguna jalan raya tidak mengetahui perubahan dilakukan,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya dan Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh.

Azry berkata, laluan itu akan digunakan sebagai jalan sehala pada waktu puncak bermula jam 6 sehingga 9 pagi yang akan dikawal oleh pihak polis.

Katanya, laluan satu hala itu akan bermula dari Jalan Kampung Pandan menghala Jalan Sultan Ismail dan laluan berkenaan akan kembali menjadi jalan dua hala selepas jam 9 pagi.

Menurut, bagi mengelakkan kekeliruan pihaknya akan meletakkan anggota JSTP di sepanjang lalun terbabit.

“Kita masih dapat (lihat hasil) sepenuhnya dan pemantauan masih dibuat oleh anggota trafik yang ditempatkan di sekitar Bukit Bintang dan Jalan Sultan Ismail.

“Petugas akan memantau kelancaran laluan kenderaan yang lalu di sini, selain berusaha memberi pemahaman lebih pengguna jalan raya.

“Kita berharap pelaksanaan ini dapat mengurangkan kadar kesesakan lalu lintas di Bukit Bintang ini,” katanya.

Sementara itu katanya, Polis Kuala Lumpur akan melaksanakan Ops Hormat Undang-Undang (HUU) Fasa Tiga dalam masa terdekat.

Beliau berkata, operasi itu akan dilaksanakan selama satu bulan bagi mengurangkan kadar kesalahan jalan raya.

Sumber: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here