KUALA LUMPUR: Seorang warga emas mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menipu untuk mendapatkan gelaran ‘Datuk’ dan menyembunyikan wang berjumlah RM12,500 dalam akaun miliknya.
Bagaimanapun tertuduh V. S. Suwaminathan, 62, meminta dibicarakan selepas kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibacakan secara berasingan masing-masing di hadapan Majistret S. Mageswary dan Majistret Wong Chai Sia.
Di hadapan Mageswary, lelaki itu didakwa menipu seorang lelaki berusia 65 tahun dengan memperdayakan mangsa bagi mendapatkan gelaran Datuk yang sebenarnya tidak wujud.
Perbuatan itu telah mendorang mangsa untuk memindahkan wang RM15,000 melalui tiga transaksi ke akaun bank miliknya yang mana dia tidak akan menyerahkan wang itu, sekiranya tidak diperdayakan sedemikian oleh tertuduh.
Kesalahan itu didakwa dilakukan sebuah bank di Taman Maluri, Cheras di sini antara 3 Jun dan 17 Ogos 2015, mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang dari setahun dan maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Sementara di hadapan Chai Sia, Suwaminathan didakwa menolong menyembunyikan atau mengalihkan wang berjumlah RM12,500 milik G. Thevakumar yang dimasukkan dalam akaun bank tertuduh yang mana wang itu bukan miliknya di sebuah unit kondominium.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Klang Lama di sini di antara 28 Mei dan 29 Mei 2017, mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Vivien Yeap Jie Xi dan Sareeka Balakrishnan manakala peguam L. Mehnagha mewakili tertuduh.
Kedua-dua mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 11 Januari 2024 untuk sebutan kes bagi serahan dokumen.
Sumber: Utusan Malaysia