KUALA LUMPUR: Usahawan yang juga ‘Tiktoker’, Datuk Red, 46, kini bergelar duda buat kali kedua selepas sah bercerai talak satu dengan isteri pertamanya, Datin Seri Sharifah Norshafila Hashim, 38, di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Kuala Selangor, pada jam 10.40 pagi ini.
Pada 24 April lalu, Red atau Datuk Seri Adnan Abu terlebih dulu bercerai talak satu dengan isteri keduanya iaitu penyanyi, Adira
Suhaimi, 32, di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat selepas sembilan tahun hidup bersama dan dikurniakan empat cahaya mata.
Adnan berkata, dia bersetuju menceraikan isteri pertama kerana tidak mahu memanjangkan lagi isu rumah tangga mereka dan memilih berpisah secara baik walaupun sudah 18 tahun hidup bersama dan mempunyai lima anak.
“Saya dan bekas isteri sudah berbincang dan sepakat mahu bercerai secara baik.
“Kami juga akan bersama-sama membesarkan anak-anak. Kalau saya teruskan (tak mahu cerai) nanti lagi panjang.
“Atas nasihat peguam, kami mencapai persetujuan perceraian, hari ini. Insya-Allah, anak-anak faham sebab mereka pun sudah besar,” katanya kepada Harian Metro dan mahu fokus bekerja untuk meraih pendapatan bagi melunaskan hutang.
Terdahulu, Adnan melafazkan cerai terhadap Sharifah Norshafila atau dikenali Datin Red di hadapan Hakim Syarie, Mohd Nurulazhar Mohd Tohar serta difahamkan, wanita itu juga tidak menuntut sebarang nafkah kepada bekas suaminya.
Ia berikutan, Sharifah Norshafila memahami situasi masalah kewangan dihadapi bekas suaminya dan enggan menyusahkan Adnan serta bertekad akan berusaha sendiri mencari pendapatan menyara anak-anaknya.
Sebelum ini, Sharifah Norshafila memfailkan perceraian terhadap bekas suaminya itu pada penghujung Januari lalu, selain bekas madunya, Adira memfailkan perceraian pada 25 Oktober tahun lalu.
Bagaimanapun, ketika prosiding kes cerai mereka pada 18 Mac lalu, Adnan enggan menceraikan Sharifah Norshafila kerana masih mahu menyelamatkan rumah tangga yang sudah lama dibina itu.
Adnan yang pernah berkahwin dengan Adira di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015 memiliki empat cahaya mata, Anggrek, 7, Asan, 6, Anggun, 5 dan Ayob, 2.
Sumber: Berita Harian