Datuk Red, Adira Akhirnya Bercerai Talak Satu

0
168
Foto: Kosmo

RAWANG – Selepas sembilan tahun, ikatan perkahwinan antara penyanyi, Adira Suhaimi dan suaminya Datuk Seri Adnan Abu akhirnya terlerai apabila pasangan itu bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat di sini.

Adnan atau lebih dikenali sebagai Datuk Red, 43, melafazkan cerai talak satu itu pada pukul 9.39 pagi di hadapan Hakim Syarie, Abdul Hadi Umar selepas mahkamah membenarkan permohonan Adira selaku plaintif mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Mahkamah kemudian mensabitkan berlaku perceraian talak satu dan memerintahkan Adira atau nama sebenarnya Siti Adira Suhaimi, 33, menjalani tempoh edah selama tiga kali suci selain mendaftarkan perceraian mereka.

Sepatutnya hari ini ditetapkan lantikan hakam namun kedua-dua pihak bersetuju untuk bercerai secara baik berdasarkan terma-terma yang kemudian penghakiman persetujuan kedua-dua belah pihak direkodkan oleh Hakim Syarie itu.

Pada prosiding lalu, mahkamah diberitahu Laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) membabitkan Adira dan suami gagal mencapai kata sepakat untuk berdamai
berhubung proses penceraian mereka.

Laporan JKP tersebut ketika itu menyatakan kedua-dua pihak gagal berbaik selain berlaku shiqaq (perbalahan yang berpanjangan) terhadap pasangan tersebut.

Meskipun laporan JKP gagal, Adnan kekal tidak mahu menceraikan isterinya manakala Adira tetap berpendirian untuk bercerai.

Semasa prosiding Datuk Red diwakili peguam syarie Muhammad Akmal Amzan manakala Adira diwakili peguam syarie Nor Saidah Zakaria.

Sebelum ini semasa proses JKP itu, Datuk Red melantik rakannya sebagai wakil JKP manakala Adira melantik kakaknya Emma Suhaimi bagi wakil JKP berkenaan.

Dalam proses perceraian, JKP terdiri daripada anggota keluarga yang rapat dengan pasangan terbabit bertujuan memberi nasihat dan mencari jalan penyelesaian dalam kemelut rumah tangga.

Sementara hakam dilantik apabila mahkamah berpuas hati syiqaq sentiasa berlaku dalam tempoh perkahwinan walaupun selepas usaha perdamaian dilakukan pada peringkat JKP.

Untuk rekod Adira memfailkan penceraian buat kali kedua dengan suaminya pada 25 Oktober tahun lalu selepas selepas mendakwa tidak lagi wujud persefahaman dalam perkahwinan mereka.

Adira berkata perpisahan merupakan satu-satunya jalan bagi menyelesaikan isu rumah tangga mereka. Pada 4 Disember tahun lalu, hadir di mahkamah di sini bagi proses (JKP).

Sebelum ini, Adira pernah memfailkan permohonan cerai terhadap Adnan di mahkamah sama pada 1 April 2019.

Bagaimanapun penyanyi berasal dari Sabah itu menarik semula permohonan dibuat bagi memberi peluang kedua kepada suami selain cuba berbaik demi anak-anak.

Permohonan tersebut dibuat mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Adira dan Datuk Red berkahwin di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015 sebagai isteri kedua.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Anggrek, 7, Asan, 6, Anggun, 5 dan Ayob yang kini berusia dua tahun. – KOSMO! ONLINE

Sumber: Kosmo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here