Datuk K Beri Isyarat ‘Thumbs Up’, Kagum Hasil Busana Khas Datuk Siti Nurhaliza

0
137

PETALING JAYA — Rendah diri dan profesional, pereka fesyen Ezuwan Ismail kagum dengan cara kerja penyanyi Datuk Seri Nurhaliza sepanjang dua hari berada di belakang pentas Konsert Fenomena: Siti Nurhaliza Live In Singapore 2024, baru-baru ini.

Ezuwan, 42, yang bertanggungjawab mereka dua persalinan buat penghibur tersohor terbabit pada konsert terbabit turut memuji pengurusan masa figura bersuara lunak itu.

“Bersyukur kerana kami serasi dan mudah bekerjasama. Beliau peramah, selalu senyum dan profesional, termasuk pihak pengurusannya. Meskipun tersohor, sikap rendah diri itulah yang sebenarnya memudahkan proses kerja.

“Saya percaya, pengalamannya yang kini hampir tiga dekad di dalam industri membuatkan dia cukup matang, selain menghormati peranan setiap orang yang berada di sekeliling.

“Sebagai pereka fesyen pula, saya sedia maklum akan keterbatasan dalam menggayakan busana. Jadi bila sesi lakaran dan ‘fitting’, saya akan lontarkan idea dan lega bila hasil kerja kita lulus di matanya, katanya kepada Kosmo! Online.

Ezuwan juga terharu apabila suami Siti, Datuk Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K juga turut menghargai persalinan yang direka untuk isteri tercinta.

“Alhamdulillah Datuk K suka dengan baju yang saya buat. Dia sempat beri isyarat ‘thumbs up’ sambil kata cantik. Iyalah, bukan senang nak dapat pujian sedemikian daripada Datuk K.

“Rasa berbaloi bila terima dedikasi tersebut mengenangkan kita sendiri bertungkus-lumus mahu beri yang terbaik demi konsert skala besar Siti di negara orang,” katanya lagi.

Berkongsi mengenai rekaannya pula, Ezuwan mencabar diri kerana buat pertama kali, menyiapkan helaian tradisional buat penyanyi lagu Cindai itu.

“Saya cuba yang terbaik kerana nak nampak elemen glamor selain masih mengekalkan aura keMelayuannya. Memang menguji sebab sepanjang proses menyiapkan busana itu, saya di Tanah Suci, menunaikan Haji.

“Jadi tak dapat nak pegang depan mata. Walaupun saya dah biasa buat baju, tapi sentuhan pereka feysen itu adalah kepuasan sebenar. Kami hanya berkomuniksasi menerusi panggilan video, namun syukur dipermudahkan.

“Untuk persalinan itu juga, saya fokus kepada perincian yang disulami dengan puluhan ribu manik-manik halus selain ada ‘tassel’, kerawang dan guna dawai di bahagian bahu bagi memberikan ilusi ‘3D’ pada rekaan,” ujarnya lagi

Terdahulu, busana yang digayakan penyanyi nombor satu negara itu menjadi bualan dalam media sosial selepas Siti yang mesra disapa TokTi itu memuat naik beberapa keping foto menerusi akaun Instagramnya, semalam.

Hingga kini, perkongsian terbabit meraih hampir 30,000 tanda suka dengan lebih 300 komen netizen.

Rata-ratanya memuji persalinan indah yang digayakannya ketika menjayakan slot Irama Malaysia menerusi konsert yang berlangsung di Kota Singa itu. Selain Ezuwan, pereka fesyen yang turut sama mereka busana Siti sepanjang konsert tersebut adalah Ashraff Zainal, Bianca Bella, Fiziwoo dan Samm Republic. – KOSMO! ONLINE.

Sumber: Kosmo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here