PETALING JAYA – Berang wajah anak disamakan dengan haiwan, pelakon Syifa Melvin memberi tempoh 24 jam kepada seorang pemilik akaun Instagram untuk menghubunginya menerusi mesej langsung atau berdepan tindakan undang-undang.
Syifa atau nama sebenarnya Nur Syifa Athirah Amirol Melvin, 30, berkata, individu biadab seperti itu tidak akan berhenti berbuat tindakan sama sebelum dikenakan sebarang tindakan.
“Siapa mak bapak malang ada anak macam ni? Bab famili, bab anak kau salah besar.
“Aku bagi masa 24 jam untuk binatang ini datang DM aku guna akaun sebenar kau sebelum esok aku pergi balai polis dengan laporkan pada MCMC.
“Kau tak nak benda ni jadi besar, kau datang sini cari! Tolong cari jap siapa yang pandai IT! Manusia macam ni layak kena ludah! Tak kena tak tahu,” tulisnya dalam Instagram.
Isteri kepada pemain bola sepak Safawi Rasid itu turut memuat naik komen pengguna terbabit yang mengejek anaknya, Saif Sulaiman, 14 bulan.
“Muka macam babi lagi sama la dengan kau tu hahaha,” itu tangkap layar ejekan individu dimaksud dalam Instagram yang dikongsikan Syifa.
Pelakon drama Bulan Di Kaki Langit itu turut meminta pakar dalam bidang teknologi mencari dalang di sebalik beberapa akaun palsu lain yang secara tiba-tiba menyerangnya.
“Wahai ‘hackers’ Malaysia, tolong Syifa cari budak ni anak siapa. Tak puas hati tapi pakai akaun lain. Aku dapat hang muka hang aku seret kat jalan,” tulisnya lagi.
Dia turut menegaskan isu mental tidak boleh dijadikan alasan mudah untuk sesuka hati mencerca orang lain
“Bab anak aku, keluarga aku hang (kau) jangan sentuh. Hang sakit mental ke bukan masalah aku.
“Aku memang akan cari sampai jumpa. Hang budak ke, terencat akal ke, tak matang ke, mari sini aku ajar hang adab dan cara matang.
“Mungkin mak bapa hang tak ajar hang. Mengetaq dah nak ajar hang. Tolong Syifa cari,” tulisnya dalam Insta Story.
Semakan dalam ruangan komen, pengikutnya meminta Syifa bertindak pantas tanpa memberikan tempoh kepada individu terbabit.
“Tak payah tunggu esok, buat sahaja laporan hari ini,” kata seorang netizen.
“Mereka ini berani kerana tiada tindakan, tapi dah kena sekali mesti berbenti,” tulis seorang pemilik akaun lain.
Menerusi perkahwinannya dengan Safawi yang didirikan pada 28 November 2022, mereka dikurniakan Saif Sulaiman.
Sumber – KOSMO! ONLINE