KUALA LUMPUR – Pelakon dan penyanyi Danny X-Factor akui seronok dan tiada niat untuk berhenti bekerja sebagai pemandu Grab yang dilakukan sejak 2017.
Danny atau nama sebenarnya, Mohd Kardanie Anwa, 44, berkata dia tiada masalah mencari rezeki dengan cara begitu kerana selesa berusaha sendiri mencari duit daripada meminta-minta daripada orang lain.“Seronok dan berbaloi. Kalau kerja produksi, sekali dapat bayaran, terus habis tapi kena duduk di set. Kalau buat Grab, hari-hari dapat duit. Boleh la bayar segala bil.
“Tak adalah nak minta duit isteri. Bagi saya, kewangan antara punca masalah rumah tangga. Isteri pun kata kalau saya keluar (kerja) dan dapat RM50 pun cukuplah. Mana-mana isteri nak tengok suami bekerja saja.
“Saya buat selagi boleh. Kalau ada tawaran kerja produksi, kebanyakannya saya ambil di sekitar Kuala Lumpur” katanya sewaktu ditemui pada pelancaran drama Unifi TV Originals berjudul Sebelum Titik Noktah, di sini, hari ini.
Tambah pelakon filem Idola itu lagi, banyak manfaat yang dia perolehi sejak bekerja sebagai pemandu Grab. Sehinggakan, dia turut menyarankan pekerjaan itu kepada rakan artis lain bagi menjana pendapatan jika tiada tawaran seni.
“Ramai kawan-kawan saya yang sudah mula menjadi pemandu Grab. Ada kru produksi, anggota polis dan sebagainya.
“Kasihan tengok kawan-kawan artis yang tak ada tawaran kerja. Saya cakap kalau ada kereta, jalan saja (buat Grab). Tapi itulah mereka mungkin segan,” katanya yang turut membuat kerjaya menjual insurans.
Namun kata pelakon yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan itu, dia tidak memandu Grab setiap hari. Hanya pada hari isterinya bercuti sahaja.
“Isteri saya bekerja sebagai pramugari. Bila dia kerja, saya jaga anak. Bila dia cuti barulah saya bawa Grab.
“Saya akan keluar rumah seawal jam 3 pagi. Kadang-kadang saya akan mulakan pada jam 12 tengah malam sehingga subuh. Selepas itu tidur sekejap dan sambung kerja bersama produksi.
“kadang-kadang lepas hantar anak ke sekolah, saya bawa Grab sekejap sampai tengah hari. Dapatlah RM100. Meskipun jumlah itu nampak kecil, tapi dompet tetap ada isi,” katanya.
Memegang status sebagai seorang artis dan juga pernah bertugas di awan biru sebagai pramugara satu ketika dahulu, kata Danny tiada sekelumit perasan malu pun yang ada dalam dirinya kerana menjadi pemandu Grab.
“Buat apa nak malu? Ini adalah salah satu cara yang mudah untuk cari rezeki.
” Alhamdulillah isteri saya terima saya seadanya. Saya hidup gembira bersama isteri dan anak dengan rezeki yang kami ada pada hari ini.
“Yang penting ada wang simpanan untuk masa hadapan,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain Danny bakal muncul dalam drama Sebelum Titik Noktah yang akan ditayangkan bermula 11 November, setiap Isnin, pukul 11 malam menerusi Saluran 120 di Unifi TV.
Sumber – KOSMO! ONLINE.