Dakwa Diberi Makanan Basi, Punca Warga Emas Ditinggalkan Di Kaki Lima

0
41
Foto: Harian Metro

Serdang: Seorang warga emas yang uzur dan berkerusi roda ditinggal sehelai sepinggang di kaki lima berhampiran Pasar Borong Selangor di Selayang sebelum diselamatkan orang ramai.

Difahamkan, lelaki warga emas itu dibiarkan di kaki lima sejak tengah malam tadi sebelum diselamatkan sekumpulan pekerja di pasar borong berkenaan dan dibawa ke Balai Polis Serdang, di sini, untuk tindakan lanjut.

Perkara itu dikongsikan Presiden Pertubuhan Wanita Bumiputera Kuala Lumpur dan Selangor (PERNITA), Noor Harnanie Buang yang terkejut dengan kejadian itu.

“Pagi tadi saya dimaklumkan oleh orang awam berkenaan seorang pakcik yang ditemui berseorangan di kaki lima sejak tengah malam tadi.

“Saya difahamkan, warga emas itu mendakwa dirinya dipaksa untuk keluar dari sebuah pusat jagaan itu selepas mengadu kepada pelawat yang dia sering diberikan makanan hampir basi.

“Saya berharap nasib warga emas itu terbela dan meminta pihak berwajib mengambil tindakan sewajarnya,” katanya kepada Harian Metro.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor, Azmir Kassim ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung perkara itu.

“Pejabat JKM ada terima aduan berkenaan dan sedang menguruskan apa yang perlu bagaimanapun buat masa ini masih belum menerima butiran lanjut berhubung kes itu,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner AA Anbalagan berkata, warga emas berkenaan dipercayai daripada sebuah pusat jagaan di sekitar Kajang dan laporan berhubung kes itu sudah dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk tindakan lanjut.

Sumber: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here