Cristiano Ronaldo Kekal Atlet Terkaya Dunia

0
36
Foto: Sinar Harian

PEMAIN bola tersohor dunia, Cristiano Ronaldo mendahului senarai atlet bergaji tertinggi Forbes buat kali keempat, sementara pemain golf ternama Sepanyol, Jon Rahm pula naik ke tangga kedua.

Ronaldo juga mengetuai senarai itu tahun lalu berikutan perpindahannya ke kelab bola sepak Arab Saudi, Al Nassr.

Majalah perniagaan Forbes berkata, pemain kelahiran Portugal berusia 39 tahun itu memperoleh pendapatan AS$260 juta (RM1.22 bilion) – meningkat daripada AS$136 juta (RM637 juta) – sejak 12 bulan lalu.

Kedudukan saingan terdekat Ronaldo iaitu Lionel Messi pula jatuh ke tempat ketiga di belakang Rahm.

Rahm melonjak ke tangga kedua selepas beralih ke jelajah LIV Golf yang dibiayai oleh Arab Saudi dan dilaporkan telah memperoleh AS$218 juta (RM1.02 bilion).

Forbes turut menyenaraikan dua lagi pemain bola sepak iaitu Neymar dan Karim Benzema dalam senarai 10 teratas selepas berpindah ke Liga Pro Saudi.

Giannis Antetokounmpo (kelima) menyertai rakan bintang bola keranjang LeBron James (keempat) dan Stephen Curry (kesembilan) dalam senarai, manakala pemain bola sepak Amerika, Lamar Jackson berada di tempat ke-10.

Menurut Forbes, 10 atlet bergaji tertinggi dunia secara kolektif memperoleh AS$1.38 bilion (RM6.5 bilion) sebelum cukai dan yuran ejen sepanjang 12 bulan lalu, yang merupakan jumlah tertinggi pernah direkodkan.

Berikut senarai 10 atlet terbaik dunia dengan gaji tertinggi 2024:

1. Cristiano Ronaldo, bola sepak: AS$260 juta (RM1.22 bilion)

2. Jon Rahm, golf: AS$218 juta (RM1.02 bilion)

3. Lionel Messi, bola sepak: AS$135 juta (RM633 juta)

4. LeBron James, bola keranjang: AS$128.2 juta (RM601 juta)

5. Giannis Antetokounmpo, bola keranjang: AS$111 juta (RM520.8 juta)

6. Kylian Mbappe, bola sepak: $110 juta (RM516 juta)

7. Neymar, bola sepak: $108 juta (RM506 juta) – Awani

Sumber: Sinar Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here