PETALING JAYA – Perkhidmatan CIMB Bank Berhad melibatkan CIMB Clicks, CIMB OCTO, FPX, MyDebit, Kredit dan Terminal Layan Diri mengalami gangguan sementara pada ketika ini.
Perkara itu dimaklumkan oleh CIMB Bank Berhad menerusi hantaran aplikasi X hari ini.
“Kami sedang berusaha untuk menyelesaikan isu ini secepat mungkin. Segala kesulitan amat dikesali. Terima kasih atas kesabaran dan pemahaman anda,” katanya hari ini.
Sementara itu, tinjauan di aplikasi X mendapati, pengguna perkhidmatan CIMB Bank meluahkan kekecewaan terhadap gangguan tersebut, lebih-lebih lagi menjelang Hari Raya Aidilfitri.
“Masalahnya orang ramai tengah beli barang-barang keperluan untuk raya terutama kat pasar raya dan sebagainya pagi ni. Dah la beratur panjang gila, smpai nk bayar sangkut,” luah seorang pengguna.
“Menyusahkan betul, orang ada urusan pejabat. Elok-elok boleh selesai awal, kena tunggu sejam lagi,” komen pengguna X.
“Tolonglah selesaikan segera. Saya terpaksa bayar zakat saya guna bank akaun lain,” komen pengguna lain.
“Apa cerita CIMB dari semalam. Nak tengok baki pun tak boleh. Nak keluar duit tak boleh, transfer pun tak boleh. Senang cakap, semua tak boleh la, esok nak raya ni,” marah seorang pengguna X.
Difahamkan, perkhidmatan bagi CIMB Clicks, CIMB OCTO, FPX, MyDebit, Kredit dan Terminal Layan Diri telah mengalami gangguan sementara semalam, sebelum kembali pulih. – KOSMO! ONLINE
Sumber: Kosmo