BEKAS pemain Liga Perdana Inggeris (EPL), William Gallas telah memberi amaran kepada Chelsea bahawa mereka berisiko kehilangan penyerang, Cole Palmer sekiranya tidak memenangi sebarang trofi.
Palmer yang baru sahaja dinobatkan sebagai Pemain Terbaik England telah membuat permulaan yang mengagumkan untuk musim baharu dan sudah membuktikan kemampuannya sebagai antara penyerang terbaik di EPL.
Chelsea di bawah kendalian Enzo Maresca juga semakin menunjukkan peningkatan dan berada di kedudukan keempat liga, empat mata di belakang pendahulu Liverpool.
“Barcelona akan menjadi satu langkah yang hebat untuk Palmer, tetapi mereka mempunyai pemain muda yang hebat seperti Lamine Yamal dan mungkin juga akan menandatangani Nico Williams.
“Palmer seperti akan menjalani musim yang hampir sama dengan tahun lepas dan walaupun dia masih muda, sudah tentu dia mahu menjulang trofi.
“Saya tidak akan terkejut jika dia akan bercakap dengan Chelsea pada musim panas mengenai hala tujunya jika mereka sekali lagi gagal memenangi trofi,” katanya.
Tambah Gallas, Palmer mempunyai keupayaan untuk pergi ke mana-mana kelab yang dia mahu dan berjaya kerana dia adalah pemain yang sangat istimewa.
“Kualitinya benar-benar berbeza dengan mana-mana pemain Inggeris lain dan dia boleh meraih kejayaan besar di mana sahaja dia pergi,” katanya.
Chelsea menghadapi ujian berat dalam beberapa minggu akan datang bermula perlawanan menentang Newcastle, Liverpool dan Arsenal.
“Chelsea telah menunjukkan banyak peningkatan dalam perlawanan baru-baru ini dan peminat mungkin mengimpikan untuk mereka berada dalam kelompok empat teratas, tetapi saya tidak dapat melihatnya.
“Saya fikir mereka akan terlepas kedudukan empat teratas kerana segalanya bergantung kepada konsisten. Setiap perlawanan dalam EPL adalah sukar dan saya melihat pemain agak letih.
“Chelsea telah menunjukkan bahawa mereka boleh menjadi kuat tetapi jika anda tidak memenangi perlawanan seperti ke atas Nottingham Forest di tempat sendiri, anda tidak akan dapat menamatkan liga di kedudukan empat teratas,” katanya.
Sumber – Sinar Harian