PETALING JAYA – Bercerai atau tangguh lagi, persoalan status perkahwinan pasangan pelakon kesayangan ramai Fazura dan Fattah Amin akan sekali lagi berdepan detik penentuan esok.
Prosiding tuntutan perceraian Fazura terhadap Fattah yang memasuki episod kedua dijangka berlangsung pukul 9.00 pagi di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Selangor.
Sebelum ini, Fattah atau nama lengkapnya Abdul Fattah Mohd. Amin, 33, belum bersedia menceraikan isterinya itu ketika prosiding pertama pada 25 September lalu.
Ketika prosiding sama, Fazura atau nama sebenarnya Nur Fazura Sharifuddin, 41, pula nekad mahu berpisah demi maruahnya sebagai wamita serta kesejahteraan hidup anak tunggalnya, Nur Fatima Aisya.
Mahkamah kemudian menangguhkan kes perceraian pasangan selebriti terbabit ke tarikh baharu iaitu pada 7 Oktober.
Selang beberapa hari, pelakon drama Playboy Itu Suami Aku itu menghadiahkan jambangan bunga hidrangea berwarna merah jambu sempena menyambut ulang tahun kelahiran suri hatinya yang ke-41.
Difahamkan, kad tulisan tangan yang mendoakan agar Fazura dilimpahi dengan rahmat dan rezeki Allah adalah satu strategi untuk menambat semula hati isterinya.
Mencari makna di sebalik bunga tersebut, difahamkan dalam budaya masyarakat Jepun, hidrangea membawa simbol permohonan maaf.
Isu keretakan rumah tangga mereka menjadi topik hangat dalam media sosial apabila dikatakan tidak lagi meninggalkan komen atau tanda suka dalam hantaran dalam akaun masing-masing.
Selepas itu, pada 13 September lalu, Fazura memfailkan permohonan cerai terhadap Fattah di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari
Fazura dan Fattah mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017 dengan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya, 4.
Sumber – KOSMO! ONLINE