CEO MYAirline Letak Jawatan

0
172
Foto: Sinar Harian

KUALA LUMPUR, 8 Oktober- MYAirline Sdn Bhd (MYAirline) mengumumkan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rayner Teo telah meletak jawatan berkuat kuasa 7 Oktober 2023.

Perletakan jawatannya dilaporkan atas sebab kesihatan.

Sehubungan itu, Ketua Pegawai Operasi MyAirline, Stuart Cross akan memikul tanggungjawab sebagai CEO sementara, kata syarikat penerbangan tambang rendah itu.

“Lembaga Pengarah MYAirline akan melantik CEO baharu dalam masa terdekat, ia juga tertakluk kepada kelulusan kawal selia,” kata MYAirline dalam satu kenyataan.

MYAirline memaklumkan, visi dan kepimpinan Rayner Teo telah memainkan peranan penting dalam peningkatan syarikat penerbangan itu sejak ia dilancarkan pada Disember 2022.

“Lembaga pengarah telah merakamkan ucapan terima kasih kepada Rayner Teo atas sumbangan cemerlangnya dan dedikasi yang tidak berbelah bahagi kepada MYAirline.

“Kami menyokong keputusan Rayner untuk mengutamakan kesihatan dan kesejahteraannya. Dengan pasukan kepimpinan syarikat penerbangan yang berpengalaman sedia ada, komitmen kami kepada penumpang, pekerja dan rakan kongsi kami kekal kukuh.

“Kami akan terus memberikan perkhidmatan cemerlang dan mengekalkan standard keselamatan dan kebolehpercayaan kami yang tinggi,”menurut kenyataan tersebut.

Mengenai operasinya, MYAirline berkata ia berada dalam peringkat akhir untuk memuktamadkan perkongsian strategik yang menjanjikan pertumbuhan masa depan syarikat penerbangan itu dan pasukan itu telah bekerja dengan gigih untuk memastikan semua langkah yang perlu diambil untuk memudahkan penyepaduan yang lancar bagi mana-mana perkongsian strategik.

Ia juga berkata operasinya kekal sama walaupun adalah perlu untuk menggabungkan laluan tertentu semasa dalam proses peralihan daripada jadual penerbangan musim panas pertamanya ke musim sejuk.

“Keadaan ini ditambah lagi dengan kelewatan penghantaran beberapa pesawat yang pada asalnya dijadualkan beroperasi sekarang,” katanya.

MYAirline meluahkan keyakinan bahawa pasukan dan kepimpinan yang berdedikasi akan terus memacu kejayaan kerana ia terus berkembang di seluruh rantau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here