JAKARTA: Penduduk Benowo dikejutkan dengan penemuan sebahagian cebisan payudara di kawasan rekreasi Adventure Land Romokalisari di Surabaya baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Benowo, Nurdianto Eko Wartono berkata, cebisan tubuh itu ditemukan sekumpulan kanak-kanak ketika memancing ikan di jeti jet ski kawasan berkenaan kira-kira pukul 2 petang (waktu tempatan) Khamis lalu.
“Selepas penduduk menemukannya, mereka melaporkannya kepada anggota pihak berkuasa. Saya segera membawa mereka ke lokasi untuk membuat pemeriksaan,” kata Nurdianto ketika dihubungi Kompas.com.
Potongan payudara itu ditemui dibalut dengan kain dan dimasukkan ke dalam plastik.
Kemudian, objek itu dimasukkan ke dalam beg yang turut diisi dengan batu sebagai pemberat.
Jelas Nudianto, siasatan awal mendapati cebisan bahagian payudara itu dipercayai merupakan bungkusan dari hospital.
Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Surabaya, Hendro Sukmono berkata, plastik yang membungkus bahagian dada itu tertera nombor pengenalan penduduk dan pihak polis sedang berusaha menyiasat pemiliknya serta bagaimana cebisan itu boleh berada di dalam tasik berkenaan.
“Hospital Dr. Soetomo membantu kami mengesahkan dengan beberapa hospital bahawa mereka mungkin mempunyai barangan atau pakej ini.
“Setakat ini kita juga mendapat maklumat mengenai pakej-pakej milik hospital di Benowo. Kami masih menjalankan siasatan lanjut termasuk memastikan sebab membuang cebisan itu di sekitar tasik.
“Ada kemungkinan pesakit pembedahan masih menunggu hasil penjelasan hospital terbabit. Justeru usaha segera dilakukan untuk mengetahui lokasi hospital dan pengesahan berhubung pesakit itu,” katanya.
Sumber: Utusan Malaysia