KUALA LUMPUR – China Communications Construction (ECRL) Sdn. Bhd. (CCC-ECRL), yang merupakan kontraktor kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bagi Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) melancarkan Laporan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) 2023, baru-baru ini.
Laporan berkenaan dibahagikan kepada tiga tonggak utama iaitu alam sekitar, sosial dan tadbir urus. Dari segi penjagaan alam sekitar, ia memaparkan komitmen CCC-ECRL terhadap prinsip pembangunan hijau sepanjang pelaksanaan projek.
Pelbagai langkah telah diambil untuk mengurangkan kesan ekologi, menyelaraskan pembinaan landasan kereta api dengan persekitaran semula jadi, serta mempromosikan amalan kelestarian bagi membangunkan ‘kereta api hijau’ yang menjadi contoh terbaik dalam pembangunan infrastruktur yang mesra alam.
Dalam aspek sosial, syarikat memberi tumpuan kepada hubungan erat dengan pihak berkepentingan termasuk pekerja, agensi kerajaan, pembekal, dan komuniti setempat.
Pelbagai inisiatif telah diwujudkan, termasuk membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan dan menyediakan platform untuk pekerja mengejar potensi mereka.
Sementara bagi tonggak tadbir urus, CCC-ECRL komited kepada piawaian tinggi dan pematuhan ketat terhadap undang-undang serta peraturan.
Menerusi aplikasi teknologi terkini dan pematuhan langkah keselamatan ketat, projek berkenaan memastikan kejuruteraan kereta api berkualiti tinggi dan stabil, sekali gus menyokong pembangunan tempatan.
Pengarah Urusan CCC-ECRL, Kong Qi berkata, laporan ESG 2023 mencerminkan komitmen pihaknya untuk mencipta nilai jangka masa panjang bagi pihak berkepentingan, sambil memberi tumpuan kepada kelestarian pada setiap peringkat.
“Pada masa sama, kami terus berusaha menetapkan penanda aras baharu dalam pembangunaan infrastruktur yang bertanggungjawab,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar Jabatan Kebudayaan dan Jenama, China Communications Construction Company Limited (CCCC), Tian Jufang berkata, sebagai projek utama CCCC, ECRL telah melaksanakan amalan ESG secara meluas, dan mencapai hasil yang ketara.
“Tahun lepas, CCCC mengadakan Persidangan Ulang Tahun Ke-10 Inisiatif Jalur dan Laluan, yang mana projek ECRL menjadi penganjur.
“Semasa majlis itu, seorang anak kecil Malaysia berusia lapan tahun, Najah telah berkongsi kisah menyentuh hati tentang bagaimana projek ini telah meningkatkan kualiti kehidupannya dan keluarga.
“Kisah ini menyerlahkan imej ECRL sebagai projek berpaksikan rakyat yang memberi manfaat kepada masyarakat, serta menjadi simbol baharu kepada persahabatan antara China dan Malaysia.
“Selain itu, usaha ESG projek ECRL turut dianugerahkan Anugerah Kecemerlangan Tanggungjawab Sosial Perusahaan Pengangkutan China 2024,” katanya.
Laluan ECRL sepanjang 665 kilometer dijangka siap pada 2027, menghubungkan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.
Sumber – Kosmo! Online