Bukan Tak Sudi Berduet Dengan Ernie, Cuma Nak Buat Single Baharu – Syamel

0
179
Foto: Berita Harian

KUALA LUMPUR: Hanya kerana bentuk dagu semakin runcing hingga menampakkan bentuk tulang rahang membuatkan penyanyi Syamel dikatakan melakukan pembedahan kosmetik pada wajahnya.

Perkara itu hangat diperkatakan dalam media sosial menerusi komen yang dibuat netizen pada foto yang dikongsi penyanyi yang namanya mula meledak menerusi lagu Hidup Dalam Mati itu.

Enggan membiarkan spekulasi berlarutan, soalan itulah yang diajukan kepada si empunya diri.

Tidak cepat melatah dengan soalan nakal itu, Syamel menjelaskan perubahan itu berlaku disebabkan berat badannya yang semakin menyusut.

“Dahulu berat badan saya mencecah angka 100 kilogram (kg), jadi tubuh yang berisi itu menutupi bahagian yang diperkatakan. Bila berat badan semakin menyusut hingga tinggal 72 kg, barulah orang nampak.

“Benda (pembedahan kosmetik) bagus untuk jangka pendek, Di penghujungnya jika orang mahukan kepastian, orang akan tengok anak yang lahir, acuannya kan?

“Alhamdulillah, hidung anak saya, Khawla macam bapanya (ketawa). Saya percaya selebriti harus ada penampilan cantik, kacak dan kemas tapi kena ada batasannya,” katanya kepada BH Online.

Tambah Syamel, perkara itu juga terpulang kepada selebriti itu sendiri iaitu dari aspek mana mengenai diri mereka yang ingin ditonjolkan kepada khalayak.

“Sebagai penyanyi, sisi apa yang mereka ingin tonjolkan? Suara atau muka, itu atas keperibadian seseorang. Macam saya sendiri lebih percaya kepada lagu dan suara yang ingin diberikan kepada pendengar. Lebih fokus kepada dua aspek itu.

“Pada masa sama, semakin meningkat usia saya nak lebih konsisten pada stamina serta kecergasan,” ujarnya.

Ditanya apakah pernah mencuba kaedah pemotongan usus, selain mengamalkan diet demi untuk kurus, pemenang trofi Artis Baharu Terbaik Anugerah Industri Muzik ke-22 (AIM 220 itu berkata, perkara itu mustahil berlaku kerana dia seorang yang takut pada jarum.

“Saya seorang takutkan jarum, inikan pula perkara yang membabitkan pemotongan usus, Bagi saya, prosedur itu memang diperlukan untuk mereka yang ada penyakit. Memang digalakkan.

“Tapi kalau buat semata-mata untuk kurus, pada pendapat peribadi saya, banyak lagi cara lain yang lebih efektif yang tidak membabitkan pembedahan besar.

“Saya pernah nampak ada kawan-kawan yang buat kaedah ini, rata-rata berat badan mereka kembali naik. Keadaan itu membuatkan saya berfikir sejenak, benda ini perlu disulamkan dengan penjagaan makanan serta bersenam,” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan Aidilfitri di kediamannya di Hartamas, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, pemilik nama sebenar Syameel Aqmal Mohd Fodzly itu turut menjelaskan mengapa dia meletakkan emoji sedih ketika ditanya peminat apakah akan ada lagu duet baharu bersama Ernie menerusi sesi soal jawab yang dibuatnya di Instagram.

Katanya, buat masa ini dirinya perlu ‘berehat’ daripada berduet dengan isterinya itu kerana mahu menerokai lebih banyak peluang duet dengan penyanyi lain, termasuk fokus terhadap single baharu serta pelbagai rencana lain yang sudah disusun syarikat rakaman.

“Bukan tak sudi nak nyanyi dengan Ernie lagi ataupun takut dibayangi, cuma lebih kepada perancangan untuk buat single baharu.

“Jadi, saya nak berehat seketika daripada berduet dengan Ernie. Ernie sudah berduet dengan ramai artis nama besar seperti Hafiz Suip dan Ade Govinda.

“Berilah peluang untuk saya pula teroka peluang yang sama. Jujurnya, orang yang paling ingin saya berduet adalah Datuk Seri Siti Nurhaliza. Jika tiba-tiba Siti sudi nak bekerjasama dan minta saya sendiri hasilkan lagu, saya tak tunggu lama dan terus masuk studio,” kata Syamel teruja.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here