Moscow: Lebih 300,000 individu menandatangani petisyen, menggesa seorang konduktor kereta api di Rusia dibuang kerja selepas dengan kejamnya membuang kucing peliharaan dari gerabak kereta api.
Portal CBS News melaporkan kucing diberi nama Twix melarikan diri daripada kurungan pemiliknya ketika menaiki kereta api yang dalam perjalanan antara Yekaterinburg dan St Petersburg pada 11 Januari lalu.
Twix kemudiannya ditemui konduktor yang bertindak membuang haiwan itu ketika kereta api berhenti di bandar Kirov, timur Moscow.
Ratusan orang berkumpul dalam suhu bawah sifar untuk mencari kucing berkenaan, yang kemudiannya ditemukan mati pada 20 Januari lalu, kira-kira 0.5 kilometer (km) dari landasan tempatnya dibuang.
Sukarelawan dilapor memberitahu Twix mati akibat kesejukan melampau dan digigit haiwan berbisa.
Pemilik Twix memberitahu media kerajaan bahawa dia berhasrat untuk mengambil tindakan undang-undang selepas kucing kesayangannya ditemukan mati dalam salji, lapor BBC.
Insiden itu mencetuskan kemarahan yang meluas di Rusia, dengan ribuan orang mengikuti perkembangan kes di laman sosial.
Sementara yang lain berkongsi semula rakaman tular kucing terbabit dibuang keluar gerabak dalam cuaca sejuk bersalji yang menghampiri -30 darjah Celsius.
Petisyen berasingan yang menggesa pertuduhan jenayah dikenakan terhadap konduktor itu mengumpul 100,000 tandatangan pada Ahad, selepas mula dikutip pada 19 Januari.
Pihak berkuasa setakat ini tidak mendakwa konduktor itu yang namanya tidak didedahkan.
Sementara itu, syarikat pengendali kereta api Rusia RZhD menyatakan kesedihan atas kematian Twix dan berikrar mengubah peraturan mengenai cara kakitangannya menyantuni haiwan yang terlepas daripada jagaan.
Ketika kes itu berlaku, katanya, beberapa kakitangan kereta api turut terbabit dalam operasi mencari haiwan berkenaan dan memaklumkan salah satu anak syarikatnya kini mengkaji kerjasama dengan organisasi yang membantu haiwan terbiar.
Sumber: Harian Metro