Melaka: Misteri kehilangan pempengaruh media sosial, Yew Boon Xiang atau kenali sebagai `Boss Mario’ terjawab apabila pemuda itu mendiami sebuah rumah kosong terbiar di Klebang, di sini sejak Jumaat lalu.
Tindakan usahawan berusia 30 tahun itu dikatakan dibebani dengan tekanan kerja dan bertindak menyembunyikan diri dipercayai untuk mencari ketenangan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, selepas tiga hari di rumah usang itu, Boon Xiang dikatakan ke sebuah hospital swasta di Banda Hilir menaiki grab selepas dikatakan mahu mendapatkan rawatan akibat tekanan itu.
“Penemuan itu berpunca apabila abangnya, Boon Teck nekad menghubungi semua hospital di Melaka untuk mendapatkan maklumat sama ada Mario ada mendapatkan rawatan atau sebaliknya.
“Apabila mengetahui bahawa adiknya sedang mendapatkan rawatan di wad kecemasan hospital swasta itu, Boon Teck kemudiannya memaklumkannya ke Balai Polis Batang Tiga,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, masalah kerja menjadi punca Mario bertindak melakukan perkara itu.
“Hasil soal siasat polis, Mario menyembunyikan di rumah kosong berkenaan kerana `stress’ memikirkan pembayaran bonus kepada 22 pekerja di dua kedai telefon bimbitnya iaitu di Melaka Sentral dan Klebang.
“Tiada kecederaan yang serius dan tiada unsur jenayah yang berlaku ke atas beliau,” katanya.
Berita kehilangan Boss Mario itu tular sejak Jumaat lalu.
Polis menerima laporan kehilangan Mario di Pantai Klebang, selepas keluar dari rumahnya kira-kira jam 3 pagi dan polis menemukan kereta yang dinaiki pemuda terbabit iaitu jenis Honda City kira-kira jam 6 petang hari sama di kawasan Pantai Klebang dalam keadaan berkunci.