KOTA KINABALU, 22 November- Anggota bomba mengambil masa sehingga satu jam untuk memujuk seorang lelaki daripada terjun dari bumbung tingkat 11, Hospital Queen Elizabeth I (QEH I) malam tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerusi satu kenyataan memaklumkan, kejadian disedari oleh pengawal keselamatan ketika menjalankan rondaan sebelum bertindak menghubungi talian kecemasan 999, pukul 9.13 malam.
Katanya, sebaik menerima panggilan kecemasan itu, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu digerakkan ke lokasi.
“Sebaik anggota tiba di lokasi, seorang lelaki ddapati cuba terjun dari bumbung bangunan hospital di tingkat 11.
“Pasukan bomba dan pengawal keselamatan hospital mengambil masa lebih sejam bagi memujuk lelaki berusia 43 tahun berkenaan.
“Lelaki terbabit berjaya dibawa turun dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Menurut kenyataan tersebut, operasi ditamatkan pada 10.30 malam selepas dipastikan tiada lagi bahaya yang wujud.