BJAK Bukan Bawah Perkhidmatan JPJ, Operasi Tanpa Kebenaran

0
89
Foto: UtusanTV

PUTRAJAYA- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menegaskan pihaknya tidak pernah memberi kelulusan kepada BJAK Sdn. Bhd. (BJAK) untuk menjalankan perkhidmatan urus niaga pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan secara dalam talian.

JPJ berkata, susulan itu, pihaknya memandang serius terhadap kandungan iklan dikeluarkan BJAK berhubung perkhidmatan urus niaga cukai jalan secara dalam talian yang ditawarkan kepada orang awam termasuklah program pemberian secara percuma.

“Kami menegaskan bahawa Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) mahupun JPJ
tidak pernah memberikan kelulusan kepada BJAK untuk menjalankan perkhidmatan urus niaga pembaharuan cukai jalan.

“JPJ juga ingin memaklumkan bahawa terdapat kenyataan yang telah dipaparkan oleh BJAK melalui laman sesawang mereka iaitu ‘Pembaharuan roadtax secara dalam talian di BJAK telah diaudit, disah dan diluluskan oleh JPJ’ adalah tidak benar dan mengelirukan orang awam,” katanya hari ini.

JPJ berkata, pihaknya juga telah menerima beberapa aduan daripada orang awam antaranya pembaharuan cukai jalan telah dilaksanakan melalui laman sesawang BJAK, namun tempoh sah laku cukai jalan tidak dikemas kini.

“Kami ingin menjelaskan dan menegaskan bahawa tiada integrasi sistem di antara Sistem JPJ (MySIKAP) dengan sistem yang digunakan oleh pihak BJAK.

“Dalam masa yang sama, JPJ juga telah menerima aduan ketidakpuasan hati orang awam yang mana perlu membayar caj tambahan ketika memperbaharui cukai jalan yang dikenakan oleh BJAK,” tegasnya.

Tegasnya, JPJ atau MOT juga tidak pernah meluluskan sebarang pengenaan caj tambahan yang dikenakan oleh BJAK kepada pelanggan mereka.

“Urus niaga memperbaharui cukai jalan adalah melalui kaunter JPJ, kios JPJ, kaunter bergerak JPJ Mobile, Aplikasi MyJPJ, portal awam JPJ dan platform rakan niaga JPJ seperti Pos Malaysia, MyEG dan PUSPAKOM sahaja.

”Pengoperasian yang dilakukan oleh BJAK berkaitan urus niaga pembaharuan cukai jalan adalah tanpa kebenaran dengan pihak JPJ,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Sumber: Kosmo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here