KUALA LUMPUR, 31 Oktober- Bidaan jam tangan berjenama Rolex milik bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri kini mencecah RM131,000.
Menerusi paparan ‘story’ di Facebook beliau, bekas menteri itu memaklumkan nilai bidaan tertinggi itu adalah jumlah yang dicatatkan setakat pukul 9.25 pagi tadi.
“Makluman terkini (jam 9.25 pagi) 31 Oktober 2023. Bidaan tertinggi adalah sebanyak RM131,000,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Zulkifli yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan membuka bidaan jam tangan hasil pemberian Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud itu sebanyak RM40,000.
Beliau menerima hadiah tersebut pada 2017.
Terdahulu dalam hantaran Facebooknya, Zulkifli berkata beliau membuka bidaan tersebut sebagai menjunjung titah Raja Salman Titah untuk sentiasa bersederhana, mengutamakan perpaduan ummah dan memartabatkan agama.
“Menjunjung titah tersebut dan meraikan kesungguhan Kerajaan Arab Saudi menyalurkan sumbangan billion dollar kepada Palestin saban tahun, saya ingin membuka bidaan jam Rolex kesayangan saya ini dengan harga tapak RM40,000.
“Kenaikan bermula RM100 ke atas. Hasil bidaan akan didermakan sepenuhnya untuk kebajikan rakyat Palestin yang sedang menderita di sana,”katanya.
Bidaan akan ditutup pukul 12.00 tengah malam ini.