KAJANG: Seorang pelajar Tingkatan Satu yang dijadual untuk dijatuhkan hukuman hari ini kerana menumbuk seorang guru di sebuah sekolah menengah, menarik balik pengakuan bersalahnya pada saat akhir.
Pelajar berusia 14 tahun itu pada awalnya mengaku bersalah terhadap pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas gurunya berusia 29 tahun di sebuah sekolah menengah pada 28 Julai lalu.
Namun, sejurus sebelum prosiding bermula di hadapan majistret Fatin Dayana Jalil, remaja itu memaklumkan kepada peguamnya, S Priyalatha, mengenai hasratnya untuk menukar pengakuan.
Priyalatha ketika ditemui di luar mahkamah memaklumkan anak guamnya itu berubah fikiran dan memaklumkan belum bersedia untuk meneruskan pengakuan bersalah.
“Pertuduhan dibacakan semula kepadanya dalam bahasa Tamil dan dia membuat pengakuan tidak bersalah.
“Mahkamah menetapkan 9 Oktober untuk penyerahan dokumen. Jadi, kami akan meneliti dokumen tersebut sebelum memutuskan sama ada mahu mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara,” katanya.
Representasi biasanya dibuat untuk memohon penarikan balik atau mengurangkan pertuduhan yang dikenakan terhadap seseorang tertuduh.
Tambah Priyalatha, pelajar itu sebelum ini sudah menjalani penilaian sosial selama sebulan dengan Pejabat Kebajikan Hulu Langat, namun laporan berkenaan tidak dibentangkan di mahkamah berikutan pindaan terhadap pengakuan.
Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Alia Safri.
Sementara itu, ibu pelajar berkenaan ketika mengiringi anaknya keluar dari kamar mahkamah dilihat sebak dan menangis.
“Saya masih sedih dengan apa yang berlaku. Apa yang dia lakukan memang salah. Saya merayu dia diberi peluang kedua,” katanya.
Remaja itu dibebaskan dengan jaminan RM1,000 bersama seorang penjamin.
Sumber – Berita Harian