Wednesday, February 25, 2026
HomeBERITAPegawai JKM Dituduh Salah Guna Bantuan Baiki Rumah RM15,000

Pegawai JKM Dituduh Salah Guna Bantuan Baiki Rumah RM15,000

ALOR SETAR – Seorang pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menyalahgunakan wang bantuan membaiki rumah berjumlah RM15,000 pada 2016 dan 2017.

Tertuduh, Mohamad Zarir Mohd. Khozali, 46, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim N. Priscilla Hemamalini.

Mengikut pertuduhan, dia yang ketika itu bertugas sebagai Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Kulim Gred S41 didakwa melakukan perbuatan tersebut membabitkan bantuan membaiki rumah sebanyak RM3,000 milik seorang wanita di Pejabat Kebajikan Masyarakat Kulim pada 19 September 2016.

Mohamad Zarir juga dituduh melakukan kesalahan sama melibatkan bantuan membaiki rumah sebanyak RM12,000 milik dua wanita berlainan di sebuah bank di Kulim pada 2 Oktober 2017.

Pendakwaan bagi kedua-dua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun serta sebatan dan boleh juga dikenakan denda.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nurul Atikah Ab. Rashid manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd. Hakim Hamran.

Pada prosiding itu, Nurul Atikah memohon mahkamah menetapkan jaminan RM30,000 bagi kedua-dua pertuduhan, namun Mohd. Hakim dalam rayuannya meminta jumlah jaminan minimum.

Menurut Mohd. Hakim, anak guamnya menanggung empat anak berusia antara 10 hingga 19 tahun yang masih belajar serta ibu bapa yang uzur, selain bakal menerima separuh gaji selepas ini.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan berjumlah RM13,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tidak mengganggu mana-mana saksi pendakwaan. Tertuduh membayar jaminan tersebut.

Kes akan disebut semula pada 8 April depan.

Sumber – KOSMO! ONLINE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Helikopter Selamatkan Mangsa Banjir Terhempas, 15 Terkorban

0
LIMA – Sekurang-kurangnya 15 orang maut selepas helikopter tentera dinaiki mereka terhempas semasa menjalankan misi menyelamat mangsa banjir di selatan Peru, lapor akhbar Mirror...

CATEGORIES