Monday, July 14, 2025
HomeBERITAKerani Rugi RM1 Juta Angkara Pelaburan Saham Palsu

Kerani Rugi RM1 Juta Angkara Pelaburan Saham Palsu

KUANTAN – Seorang kerani berputih mata apabila wang simpanan berjumlah RM1.068 juta lesap, selepas terperdaya dengan skim pelaburan saham tidak wujud yang diiklankan menerusi aplikasi Facebook pada Disember tahun lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, wanita berusia 56 tahun itu telah menekan pautan iklan tersebut dan kemudian menerima mesej melalui aplikasi WhatsApp daripada suspek.

“Suspek kemudiannya mengarahkan mangsa memuat turun satu aplikasi pelaburan yang kononnya membolehkan pelaburan dalam saham tempatan dan Amerika Syarikat.

“Selepas itu, mangsa dihubungi oleh nombor WhatsApp lain yang mendakwa sebagai wakil khidmat pelanggan dan diarahkan untuk membuat pindahan wang ke beberapa akaun bank bagi tujuan pelaburan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Yahaya berkata, berdasarkan laporan yang diterima, mangsa telah melakukan 18 transaksi ke tujuh akaun bank berbeza, melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM1.068 juta antara 12 Februari hingga 26 Mac lalu.

Katanya, mangsa hanya menerima pulangan sebanyak RM20,000 sebelum menyedari telah ditipu.

“Sumber kewangan mangsa adalah daripada simpanan peribadi, pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta pinjaman bank yang dibuat khusus untuk pelaburan tersebut,” katanya.

Sehubungan itu, Yahaya menasihatkan orang ramai supaya sentiasa membuat semakan terlebih dahulu sebelum menyertai sebarang pelaburan atas talian bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.

“Jangan mudah terpengaruh dengan skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan lumayan.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya segera membuat semakan dengan pihak polis atau agensi kerajaan sekiranya menerima panggilan atau mesej yang meragukan.

“Masyarakat juga diingatkan agar menyemak nombor akaun dan nombor telefon yang diterima melalui pautan https://semakmule.rmp.gov.my sebelum melakukan sebarang transaksi,” katanya.

Sumber – Sinar Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

‘Cucunda Penyambung Zuriat, Insya-Allah Bertemu di Syurga’

0
PETALING JAYA – Sempena bulan kelahiran dua cucu tersayang, ibu kepada penyanyi Aliff Aziz, Siti Hafiza meluahkan kerinduan serta kasih sayang yang tidak pernah...

CATEGORIES