KUALA LUMPUR – Perdana Menteri memaklumkan kerajaan telah mengehadkan kemasukan pusat data baharu yang tidak mempunyai kaitan dengan kecerdasan buatan (AI) sejak hampir dua tahun lalu.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah tersebut diambil bagi mengelak berlaku pertambahan beban ke atas grid kuasa nasional yang boleh menjejaskan bekalan kepada pengguna domestik.
“Kalau ada manfaat dari sudut penambahan teknologi tinggi dan AI, itu mudah diluluskan.
“Jadi, semua permohonan baru yang tidak ada kaitan (AI), hanya pusat data kerana menggunakan kemudahan air yang lebih murah dan harga tenaga yang lebih murah, itu sudah pun dihentikan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) mengenai kesan Rang Undang-undang (RUU) Tadbir Urus AI kepada penggunaan tenaga dan air serta usaha memastikan bekalannya mencukupi bagi pengguna domestik.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, meskipun berlaku lonjakan penggunaan tenaga dan air bagi pengoperasian keseluruhan pusat data, namun berdasarkan unjuran Kementerian Tenaga, ia masih mampu ditampung.
Malah katanya, terdapat beberapa usaha diperingkat ASEAN Energy Grid yang sedang di selenggara dari Vietnam ke Semenanjung Tanah Melayu hingga ke Singapura.
Selain itu katannya, kerajaan turut merancang untuk mendapatkan tenaga tenaga dari Sarawak ke Semenanjung dan Singapura dalam jangka masa panjang.
Sumber – kosmo! online





