KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner di sini hari ini diberitahu bahawa kesan darah ditemui pada lembaran kertas yang mengandungi tulisan tangan Allahyarham Zara Qairina Mahathir sepadan dengan profil DNA gadis berusia 13 tahun itu.
Perkara itu disahkan ahli kimia, Nor Aidora Saedon, 52, dari Jabatan Kimia Malaysia di Petaling Jaya, Selangor yang menjelaskan, kesan darah itu ditemui pada kertas bertanda Y8, meliputi kawasan Y8 (ii) hingga Y8 (vii) dan pada kertas bertanda Y1, meliputi kawasan Y1 (i) dan Y1(ii) dengan sampel berkenaan dianalisis untuk perbandingan DNA.
Beliau memberitahu mahkamah, kesan darah itu konsisten antara satu sama lain dan sepadan dengan profil DNA yang diperoleh daripada spesimen tulang bertanda WK37 dan berlabel ‘Zara Qairina Binti Mahathir’.
“Ini menunjukkan bahawa DNA yang dikenal pasti datang daripada individu yang sama,” katanya sambil menambah bahawa kesan darah yang ditemui pada kertas berlabel WK15(9)(a) serta DNA kesan sentuhan yang diambil dari sebuah buku berlabel WK13, juga sepadan.
Dalam prosiding terdahulu pada 8 September, pemeriksa dokumen, Nurul Atiqah Mohd Noh dari jabatan sama, memberi keterangan bahawa tulisan tangan pada beberapa dokumen bertanda Y1 hingga Y15 serta W1 dan W2 yang dianalisisnya adalah konsisten dengan spesimen tulisan tangan Zara Qairina.
Turut dilaporkan bahawa kesan darah dipercayai ada pada lembaran kertas yang mengandungi tulisan tangan Allahyarham.
Nor Aidora berkata, profil DNA bercampur, yang terdiri daripada satu penyumbang utama perempuan dan sekurang-kurangnya dua penyumbang minor, diperoleh daripada kesan darah pada kawasan Y8 (i) serta daripada DNA pada beg alat tulis bertanda WK1 (a), buku WK9 dan WK14 serta selimut berlabel WK27.
“Profil DNA yang diperoleh daripada spesimen tulang WK37 adalah penyumbang utama dalam sampel campuran ini, manakala penyumbang minor tidak dapat dikenal pasti secara muktamad,” katanya yang memberi keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan sebagai saksi ke-17 dalam inkues kematian Zara Qairina.
Nor Aidora turut menjelaskan bahawa kertas Y1 dan Y8 adalah padanan yang saling melengkapi antara satu sama lain.
Menurutnya, beliau memeriksa beg barang bukti Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertanda Y8 dan mendapati terdapat sekeping kertas di dalamnya dengan beberapa kesan yang menunjukkan kehadiran darah dan tujuh kawasan telah diambil dan ditandakan sebagai Y8 (i), Y8 (ii), Y8 (iii), Y8 (iv), Y8 (v), Y8 (vi) dan Y8 (vii).
Pada 20 Ogos, jam kira-kira 2.15 petang, Nor Aidora berkata, beliau memeriksa kertas bertanda Y1 di hadapan Nurul Atiqah dan mendapati ada kesan darah pada lembaran terbabit sebelum mengambil dua sampel, yang dilabel sebagai Y1 (i) dan Y1 (ii).
Terdahulu pada kira-kira jam 7.05 malam 11 Ogos, Nor Aidora memberitahu, beliau menerima 37 barang bukti, termasuk pakaian, barang peribadi, buku, lembaran kertas dan beberapa spesimen seperti tulang, kuku dan putik kapas dengan kesan darah daripada seorang inspektor polis.
Beliau kemudian menerima satu lagi beg barang bertanda Y8 daripada seorang lagi inspektor pada 20 Ogos, jam 8.28 pagi dan semua barangan diterima dalam keadaan bertutup serta utuh.
“Sepanjang proses analisis, barang bukti berada di bawah pengawasan saya setiap masa. Saya boleh mengesahkan bahawa tiada sebarang usikan. Selepas selesai analisis, saya meletakkan semula setiap item dalam pembungkusan asal,” katanya.
Dalam kenyataan saksi, Nor Aidora menjelaskan bahawa DNA ialah bahan yang terdapat dalam hampir semua sel manusia dan unik bagi setiap individu kecuali kembar seiras.
Ia membawa maklumat genetik yang diwarisi daripada kedua-dua ibu bapa.
“Terdapat kawasan tertentu dalam DNA yang berbeza antara individu. Dengan menguji 21 lokus genetik, profil DNA yang unik boleh dihasilkan. Proses untuk mendapatkan ini dipanggil pemprofilan DNA,” katanya.
Beliau menambah, Makmal DNA di Jabatan Kimia Malaysia dilengkapi peralatan bertauliah antarabangsa seperti Real-Time PCR, Thermal Cycler dan Genetic Analyser serta mematuhi prosedur forensik yang diterima secara global.
“Dalam bidang kerja saya, saya biasanya menjalankan analisis DNA ke atas bukti biologi bagi kes forensik seperti kes bunuh, rogol, paterniti, pergaduhan, dadah, penculikan, rompakan, pecah rumah dan sebagainya. Saya juga telah memberi banyak keterangan di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Sesyen, Mahkamah Majistret dan Mahkamah Syariah. Setakat pengetahuan saya, keterangan saya telah diterima oleh mahkamah,” katanya.
Sumber – Berita Harian