KUALA LUMPUR – Nilai perdagangan antara ASEAN dan Korea mencatatkan lebih dolar Amerika Syarikat (AS)$200 bilion sepanjang tahun lalu, sekali gus mencerminkan kekuatan serta ketahanan hubungan ekonomi yang kukuh antara kedua-dua pihak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, menerusi perdagangan itu, ASEAN menawarkan peluang besar pelbagai sektor dipacu oleh skala, daya dinamik, serta tenaga muda lebih 600 juta penduduk.
Menurutnya, Korea pula membawa inovasi, teknologi dan semangat kreatif sekali gus menunjukkan ASEAN dan Korea boleh memainkan peranan penting dalam membentuk ketahanan serantau. “Selama lebih tiga dekad, hubungan dialog ASEAN–Korea telah menjadi contoh teladan berasaskan kepercayaan, saling menghormati dan manfaat bersama.
“Perkongsian kita telah berkembang menjadi Perkongsian Strategik Menyeluruh, mencerminkan keyakinan yang kita berikan antara satu sama lain serta nilai berterusan dalam kerjasama kita,” katanya.
Beliau berkata demikian pada ucapan pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN-Korea ke-26 sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini. Hadir sama, Presiden Korea Selatan, Lee Jae-myung.
Anwar berkata, dunia menyaksikan gangguan teknologi, persaingan strategik, rantaian bekalan serta tekanan terhadap sistem perdagangan pelbagai hala yang sedang mentakrif semula landskap ekonomi global.
“Dalam keadaan ini, ASEAN dan Korea menonjol sebagai negara-negara yang percaya bahawa kemajuan mesti dicapai melalui kerjasama,” katanya.
Beliau berkata, sehubungan itu, Pelan Tindakan 2026–2030 yang baru diterima pakai menyediakan satu gambaran nilai sebenar dalam mengemudi lima tahun akan datang.
“Dengan menggabungkan potensi pertumbuhan ASEAN dan Korea, kita dapat membentuk ekosistem baharu yang mewujudkan peluang-peluang baharu, seterusnya memupuk pertumbuhan inklusif, pasaran terbuka dan rantaian bekalan yang stabil.
“Untuk memacu kemajuan ini, kita perlu membangunkan modal insan yang bersedia menghadapi masa depan, agar rakyat kita mampu memimpin perubahan, menjadi inovator, usahawan serta pembina kemakmuran bersama,” katanya.
Sumber – KOSMO! ONLINE





