Beri Laluan Musim Raya, Selenggara Jalan Diberhentikan Sementara

0
112
Foto: Utusan Malaysia

PUTRAJAYA – Kementerian Kerja Raya (KKR) memberi jaminan pengguna tidak lagi berhadapan dengan isu kesesakan luar biasa sewaktu musim perayaan disebabkan tindakan syarikat konsesi yang melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan jalan raya pada waktu puncak.

Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Hasnol Zam Zam berkata, belajar daripada pengalaman, kementerian mengadakan perbincangan dengan semua syarikat konsesi lebuh raya dan jalan persekutuan dengan meminta mereka untuk menyelesaikan semua kerja penyelenggaraan dan membaik pulih jalan sekurang-kurangnya dua minggu sebelum Aidilfitri.

Jelasnya, bagi projek penyelenggaraan yang teknikal dan sukar disiapkan dalam tempoh ditetapkan, kementerian turut mengarahkan semua syarikat konsesi untuk menyelesaikannya dalam tempoh seminggu sebelum cuti perayaan.

Hasnol (kanan) bersama Abdul Malik ketika sidang akhbar sempena majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim dari Rumah Kesayanganku dan Persatuan Sindrom Down Malaysia di Restoran Antarabangsa D’Tandoor Putrajaya.

Tambahnya, langkah ini penting kerana kementerian mahu menjamin keselesaan pengguna jalan raya dalam merancang perjalanan pulang ke destinasi dituju sempena menyambut Hari Raya Aidilfitri.

“Bagi projek-projek penyelenggaraan atau pembinaan jalan yang memerlukan masa lebih panjang untuk disiapkan, kementerian akan meminta mereka memberhentikan sementara kerja-kerja pembaikan atau pembinaan jalan di lokasi-lokasi terlibat.

“Inisiatif ini sangat penting supaya tiada apa-apa gangguan atau halangan kepada pengguna jalan raya sepanjang tempoh perayaan ini hanya disebabkan kerja-kerja penyelenggaraan jalan raya dijalankan syarikat konsesi,” katanya kepada Sinar Premium pada Rabu.

Beliau berkata demikian sewaktu menghadiri majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim dari Rumah Kesayanganku dan Persatuan Sindrom Down Malaysia bersama Pengarah Urusan Kumpulan Rangkaian Restoran Antarabangsa D’Tandoor, Kolonel Datuk Abdul Malik Abdullah di Ayer@8, Presint 8 di sini.

Dalam majlis itu seramai 150 anak yatim dan sindrom Down diberi sumbangan duit raya serta bantuan Aidilfitri.

Seramai 150 penghuni Rumah Kesayanganku dan Persatuan Sindrom Down Malaysia menerima sumbangan raya yang disampaikan oleh Hasnol (lima dari kiri) dan Abdul Malik (empat dari kiri).

Mengulas lanjut, Hasnol menegaskan KKR turut meminta pihak berkuasa tempatan dan syarikat konsesi menyediakan satu pelan perancangan trafik di kawasan-kawasan terlibat kerja penyelenggaraan atau pembinaan jalan raya seliaan mereka.

Tambahnya, langkah penyediaan jalan sehala, laluan kontra, laluan bypass atau jambatan sementara amat penting bagi memastikan pengguna jalan raya tidak berdepan masalah kesesakan lalu lintas yang tidak sepatutnya pada musim perayaan.

“Arahan ini turut termaktub kepada syarikat-syarikat yang melaksanakan projek pembinaan jalan raya baharu termasuklah syarikat pembinaan Lingkaran Tengah Utama dari Bentong, Pahang ke Kota Bharu, Kelantan.

“Bagi setiap kemudahan plaza tol, kementerian juga telah mengarahkan agar tidak ada isu-isu seperti kerosakan mesin pengesan kad Touch ‘n Go (TNG), SmartTAG dan terbaru Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) yang boleh memberi kesukaran kepada pengguna jalan raya.

“Syarikat konsesi telah diminta memastikan ada petugas-petugas khas yang akan memberi khidmat bantuan serta-merta kepada pengguna bermasalah di setiap plaza tol.

“Kementerian juga telah meminta agar kesemua lorong plaza tol yang mempunyai masalah kerosakan sistem dibaik pulih segera sebelum musim perayaan tiba,” tegasnya.

Sumber: Sinar Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here