Berhati-Hati Dengan Mawla Amin, Jangan Cepat Percaya Orang

0
147
Foto: Next Step Malaysia

Rabat: Kementerian Luar Negeri Maghribi mengesahkan Mawla Amin atau nama sebenarnya Muhammad Mohamed Amin Ouradji bukan warganegara Maghribi.

Portal Hespress melaporkan, lelaki itu juga tidak mempunyai kaitan dengan Sharif Idrissi di Maghribi atau mana-mana keturunan Nabi Muhammad SAW.

“Mohamed Amin Ouradji dilahirkan di Algiers, Algeria pada 1984 dan berhijrah ke Perancis bersama keluarganya,” katanya.

Menurut portal berkenaan, penganut mazhab merujuknya dengan gelaran kehormat ‘Mawla Mohamed Amin al-Hassani’.

Kenyataan itu dikeluarkan atas permintaan Kementerian Luar Malaysia yang ingin mendapatkan pengesahan taraf kewarganegaraan lelaki berkenaan.

Mawla Amin mencetuskan kontroversi di Malaysia dengan mendakwa warganegara Maghribi dan keturunan Nabi Muhammad selepas menubuhkan sebuah mazhab yang kononnya menyediakan penganutnya untuk akhir zaman.

Ouradji tiba di Malaysia pada 2022 yang dibawa oleh sebuah madrasah, tetapi mendapat tentangan daripada mufti negeri kerana dokumen ‘keturunan’ yang meragukan.

Sementara Morocco World News melaporkan, Kementerian Luar Negeri Maghribi mengeluarkan satu kenyataan kepada Kedutaan Malaysia pada September 2023 menjelaskan individu berkenaan yang ketika lahir dinamakan Habib Mohamed Amin Ben Sayed EL Idrissi El Hassani memegang dua kerakyatan iaitu Perancis dan Algeria.

“Salinan kenyataan yang diedarkan dalam talian menunjukkan lelaki itu ke Maghribi buat kali pertama pada 30 Oktober 2006, dan terus menetap di Maghribi, Perancis, Malaysia, Indonesia dan Yaman.

Lelaki itu berkahwin dengan seorang wanita warga Maghribi pada 2014.

Kenyataan rasmi itu menjelaskan lelaki itu juga cuba menukar namanya.

“Individu itu mendakwa sebagai warga Maghribi sedangkan dia berasal dari Algeria-Perancis,” menurut kenyataan itu sambil menambah lelaki itu mengambil kesempatan daripada reputasi ulama dan sufi Maghribi untuk menipu umat Islam di Asia Selatan.

“Individu itu juga tidak mempunyai hubungan dengan ‘Shariff Idrissi’ atau mana-mana keturunan bangsawan, kerana dia datang ke Maghribi pada 2014 untuk tinggal bersama isterinya.

“Lelaki itu mengeksploitasi keturunan bangsawan untuk menarik pengikut,” menurut kenyataan itu.

Katanya, pihak berkuasa agama Maghribi tidak menyokong sama ada aktiviti atau ajaran agama individu terbabit.

Sumber: Kosmo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here