GEORGE TOWN – Seorang wanita warga emas berjaya diselamatkan pasukan bomba selepas dia nekad terjun dari Kilometer 1.1 Jambatan Pulau Pinang menghala ke pulau di sini, petang semalam.
Mangsa berusia 66 tahun itu ditemui dalam keadaan terkapai-kapai berdekatan tiang di bawah jambatan sebelum ditarik anggota bomba naik ke atas pelantar.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai, Rohaizal Abdul Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berlaku pada pukul 3.30 petang tadi dan kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, tindakan wanita terbabit disedari pengguna jambatan berkenaan sebaik dia meninggalkan kereta jenis Honda Jazz di tepi jalan sebelum bertindak terjun.
“Seorang anggota bomba diturunkan ke bawah bagi menyelamatkan mangsa. Pergerakkan mangsa terbatas dan tidak hanyut disebabkan kakinya tersangkut dalam lumpur.
Beritahu Rohaizal lagi, wanita terbabit kemudiannya di bawa ke Jeti Polis Marin di Batu Uban dan diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan lanjut.
Mana-mana individu yang mempunyai masalah kemurungan atau menghadapi tekanan boleh menghubungi Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS) di 03-29359935 atau 014-3223392atau Talian Kasih 15999/WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999. -KOSMO! ONLINE