Berang Dicurangi, Model Bunuh Teman Lelaki Dalam Rumah sewa

0
288
Foto: MalaysiaGazette

KUALA LANGAT – Angkara cemburu, seorang wanita yang juga model sambilan hilang pertimbangan dengan menikam mati kekasihnya sendiri dalam sebuah rumah sewa di sekitar Rimbayu, di sini semalam.

Suspek bagaimanapun sempat membawa mangsa yang merupakan jurufoto sambilan ke sebuah klinik sebelum dipindahkan ke Hospital Cyberjaya dekat sini untuk mendapatkan rawatan sewajarnya.

Namun mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan kira-kira pukul 7.25 pagi.

Kedua-dua pasangan kekasih tersebut berusia 26 tahun dan telah menjalinkan hubungan cinta selama tiga tahun.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd. Nor @ Salleh berkata, pihaknya terdahulu menerima laporan daripada seorang doktor berusia 32 tahun yang bekerja di Hospital Cyberjaya telah menerima satu pesakit dalam keadaan tidak sedarkan diri kira-kira pukul 9.41 pagi.

Katanya, pengadu mendapati pesakit telah dibawa dari sebuah klinik swasta dan telah bertindak membuat bantuan penafasan (CPR) selama 30 minit, namun tiada tindak balas dan denyutan nadi dari mangsa.

“Mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 7.25 pagi akibat kecederaan luka tikaman di bahagian pergelangan tangan kiri dan kaki kiri dengan bersenjatakan sebilah pisau.

“Bertindak maklumat kemudiannya membawa penahanan seorang wanita yang merupakan kekasih mangsa di kawasan hospital tersebut kira-kira pukul 12.30 tengah hari, hari yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan, semakan mendapati suspek yang merupakan warga tempatan itu adalah bekas pelajar perubatan dan bekerja sebagai model sambilan selain tidak mempunyai rekod lampau.

“Hasil siasatan awal mendapati punca kejadian adalah cemburu kerana mangsa telah berlaku curang dengan mempunyai wanita lain selain suspek.

“Hubungan cinta antara suspek dan mangsa adalah kira-kira tiga tahun,” ujarnya.

Ahmad Ridhwan menambah, suspek kini direman selama enam hari dengan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat diminta menyalurkannya kepada balai polis berhampiran atau menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di talian 03-31872222,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Sumber: Kosmo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here