Belum Ada Rezeki Anak, Nabila Razali Percaya Aturan Pencipta

0
152
Foto: Kosmo

Lebih enam bulan bergelar isteri, Nabila Razali, 32, bersyukur kehidupan rumah tangganya bersama suami tercinta, Nik Iruwan Nik Izani, 39, kini bersulam bahagia meskipun belum ada bayangan akan menimang cahaya mata.

Nabila atau pemilik nama sebenar, Nur Nabila Mohd Razali ini berkata, peluang memiliki cahaya mata adalah rezeki terindah daripada Allah buat pasangan suami isteri dan dia positif dengan ketentuan Yang Esa.

“Saya tak boleh nak komen banyak berkaitan rezeki anak ini. Tapi, apa yang boleh saya cakap adalah bergantung kepada rezeki. Bila sampai masa, pasti akan ada dan kalau sebaliknya pun saya kena terus berusaha.

“Namun jika orang terus nak tanya dan tanya mengenai rezeki itu (anak), saya akan jawab yang baik-baik saja dan mohon didoakan terbaik untuk kami berdua,” katanya.

Menyedari soalan berhubung cahaya mata itu antara yang tidak boleh dielak apabila bertemu saudara-mara dan sesiapa dikenali, Nabila berkata, dia selesa berhati-hati dan tetap menghormati mereka yang bertanya.

Katanya, dia juga sudah terbiasa selama ini tidak cepat melenting serta mudah marah terhadap apa saja soalan yang ditanyakan kepadanya kerana ini asam garam sebagai selebriti dan ‘public figure’.

Mengulas juga berkaitan panggilan ‘puan’ yang pernah membuat dia berasa janggal, pelakon drama Pesan Pada Hati dan Seindah Tujuh Warna Pelangi itu berkata, sekarang dia semakin selesa kerana status diri yang sudah berubah.

“Alhamdulillah, saya dah selesa dengan panggilan ‘puan’ itu di mana-mana saja dan syukur tidak ambil masa lama untuk saya menyesuaikan diri.

“Tapi, sejujurnya saya masih dalam fasa mencuba membiasakan diri dengan tanggungjawab sebagai isteri. Sebabnya, tanggungjawab ini makin lama makin besar dan makin banyak, jadi banyak perkara yang perlu diambil kira.

“Sebagai contoh, pada Ramadan baru-baru ini, jadual kerja saya sangat padat, tetapi masih dapat juga mencari masa untuk sentiasa berbuka puasa dengan suami walaupun dia amat memahami,” katanya.

Meraikan sambutan Aidilfitri tahun ini di Kelantan, Nabila berkata, dia ada perasaan gementar kerana baharu lebih nak mengenali keluarga besar suami di negeri pantai timur itu.

“Sebelum ini saya selalu beraya di Kuala Lumpur, Melaka dan Selangor saja iaitu kampung ibu dan bapa saya. Tapi, tahun ini adalah kali pertama beraya di kampung suami di Kelantan, jadi ada rasa gementar itu.

“Sebabnya nak lebih mengenali keluarga besar suami dan juadah enak di Kelantan. Ini kerana, saya dengar ada pelbagai pilihan makanan yang sedap-sedap di sana dan kulinarinya mantap.

“Apa pun, saya gembira penerimaan daripada semua orang di Kelantan baik-baik dan dipermudahkan oleh Allah untuk saya sebagai ahli keluarga baru dan bijak membawa diri,” katanya.

Terdahulu, Nabila sah bergelar isteri kepada ahli perniagaan, Nik Iruwan pada 18 November tahun lalu dalam majlis pernikahan yang berlangsung secara tertutup dengan dihadiri keluarga dan kenalan rapat di sebuah hotel di Pahang.

Masih disokong peminat

Pandangan ‘skeptikal’ segelintir orang terhadap populariti selebriti wanita akan jatuh atau berakhir selepas berumah tangga nampaknya tidak berlaku kepada Nabila kerana dia didapati tetap ‘laris’ di pasaran.

Apatah lagi, penyanyi lagu Pematah Hati, Cemburu dan Peluang Kedua ini muncul dengan single terbaharunya iaitu Hanya Kamu dan Raya Mana? yang begitu menjadi perhatian ramai.

Mengulasnya, Nabila berkata, dia sangat komited ketika bekerja dan amat menghargai peluang yang diperoleh berikutan suami sentiasa mengingatkan supaya membuat terbaik demi menghiburkan peminat.

“Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana rezeki karier seni saya masih dimurahkan dan tak sangka juga lagu raya saya, Raya Mana? yang dilancarkan pada Ramadan lalu diterima sangat baik.

“Apa yang boleh saya cakap, terima kasih banyak kerana saya masih ada penyokong lagi yang sentiasa setia memberikan sokongan pada setiap hasil kerja saya supaya terus berpanjangan.

“Selain itu, saya juga teruja untuk masuk semula ke set penggambaran drama terbaharu tidak lama lagi. Begitu juga, akan ada lagu baharu bakal menyusul nanti dan Alhamdulillah, saya akan terus aktif dalam karier seni ini, Insya-Allah,” katanya.

Nabila sudah 10 tahun aktif menceburi karier seni selepas bersaing di pentas Akademi Fantasia 2013, seangkatan rakannya yang lain iaitu Hael Huzaini, Amira Othman, Indah Ruhaila dan Aisyah Aziz.

Sumber: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here