KUALA LUMPUR: Bella Astillah terkejut dengan keputusan suami, Aliff Aziz yang enggan menceraikannya atas dakwaan masih sayangkan keluarga.
Bella menyangka kemelut rumah tangga mereka dapat diselesaikan di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.
“Saya sudah penat dan memang tidak sangka dengan keputusan dibuat. Saya sangka hari ini akan selesai semuanya.
“Siapa yang tidak sayangkan rumah tangga. Saya percaya, siapa yang berkahwin mahukan perceraian?
“Fikir saya suka turun naik mahkamah? Sebab itulah, selama ini, saya cuba pertahankan rumah tangga ini selama bertahun-tahun,” katanya kepada pemberita sebaik prosiding sebutan kali kedua permohonan cerai di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan di sini, hari ini, berakhir.
Ditanya mengapa masih mempertahankan rumah tangga biarpun mendakwa dicurangi suami sebanyak 11 kali, Bella percaya setiap individu ada had dalam hidup.
“Setiap individu ada had masing-masing. Selagi mana saya fikir mampu pertahankan, saya pertahankan walaupun ada yang cakap saya bodoh.
“Kalau betul dia masih sayangkan rumah tangga dan anak-anak, kenapa buka aib saya,” katanya.
Bella dan Aliff mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016, namun, pernah bercerai pada 16 Mei 2019.
Mereka kemudian kembali rujuk ketika masih dalam tempoh edah. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Mohamad Ayden Adrean, 7, dan Ara Adreanna, 4.
Sumber: Berita Harian