PETALING JAYA – Bekas pelumba negara yang pernah mencipta nama peringkat antarabangsa, Elly Idzlianizar Elias,40, maut dipercayai akibat ditetak lebih lapan kali dengan pedang samurai di Perlis, semalam.
Makluman kematian itu dikongsikan adik Allahyarham, Elly Idzliaikmal Elias di laman sosial miliknya.
“Selamat jalan abang ku #16. Semoga tenang di negeri abadi abang sayangku. Moga ditempatkan di syurga. Tunggu kami di sana abang. Nanti kita jumpa di sana abang,” tulis adik lelakinya itu.
Difahamkan, jenazah Allahyarham dihantar ke Hospital Alor Setar untuk menjalani proses bedah siasat.
Allahyarham Elly Idzlianizar dikenali sebagai pelumba yang berbakat besar apabila membawa nama Malaysia ke peringkat Asia dan antarabangsa selain berjaya menjulang beberapa kejuaraan bersama pelbagai pengeluar antaranya Yamaha, Honda dan Suzuki.
Allahyarham turut terpilih menyertai program pencarian pelumba ‘wildcard’ negara untuk beraksi di Grand Prix Malaysia pada tahun 2009.
Selain itu, Allahyarham turut memiliki buku autobiografi bertajuk Evolusi Elly ‘Daripada rempit kepada juara’ yang diterbitkan pada tahun 2010. – KOSMO! ONLINE