Bekalan Air Pulih Di Selangor Secara Berperingkat Mulai Awal Pagi Esok

0
46
Foto: Berita Harian

PETALING JAYA – Pengguna dijangka menerima bekalan air secara berperingkat bermula pukul 3 pagi esok, selepas kerja penyelenggaraan dan penggantian aset di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) dijangka siap pada pukul 7 malam ini.

Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) melalui satu kenyataan berkata, peratusan pemulihan bekalan air di kawasan yang terjejas dijangka akan mencapai sekitar 20 peratus pada pukul 3 petang diikuti dengan 90 peratus pada pukul 3 pagi (Jumaat).

“Waktu pemulihan penuh bagi kawasan yang terbabit dijangka pada pukul 12 tengah hari Jumaat,” katanya, hari ini.

Terdahulu, Air Selangor berkata sebanyak tujuh kawasan akan terjejas dengan gangguan bekalan air berjadual ini iaitu Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Kuala Selangor.

Jelas kenyataan itu lagi, tempoh masa gangguan dan pemulihan di kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air.

“Kita akan menggerakkan lori tangki air ke premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian. Bantuan bekalan air alternatif menerusi 13 Pusat Khidmat Setempat (PKS) turut disediakan untuk kemudahan pengguna.

“Bagi pelanggan komersial pula, bekalan air terawat boleh dibeli di mana-mana kaunter khidmat pelanggan di seluruh wilayah Air Selangor.

“Bagi tujuan ini, pelanggan komersial boleh menggunakan lori tangki air masing-masing di empat stesen pengisian air yang akan dibuka di Braemar Estate (wilayah Hulu Langat), Taman Gemilang Dengkil dan Pekan Salak (wilayah Sepang), serta Taman Banting Baru (wilayah Kuala Langat),” katanya.

Kata kenyataan itu lagi, sesi taklimat dengan wakil rakyat bagi kawasan yang terjejas dilakukan semalam bagi memastikan kelancaran pembekalan air untuk para pengguna.

Pengguna boleh mendapatkan maklumat berhubung gangguan bekalan air berjadual ini daripada semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi https://waterupdates.airselangor.com/.

“Selain itu saluran alternatif juga tersedia seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan X atau hubungi Air Selangor di talian 15300 atau layari https://www.airselangor.com/,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Sumber: Kosmo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here