BCL Selamat Bernikah, Jemputan Hanya 100 Orang Sahaja

1
202
Foto: ohbulan!

BALI – MAJLIS pernikahan selebriti terkenal Indonesia, Bunga Citra Lestari atau BCL bersama kekasihnya Tiko Aryawardhana yang diadakan di resort mewah, Amankila Resort, Bali pada petang ini, dikawal ketat oleh petugas keselamatan.

Malah, tetamu yang diundang ke acara pernikahan tersebut dilarang menggunakan telefon bimbit sepanjang majlis berlangsung.

Menurut laporan portal berita, CNN Indonesia, jalan yang menghubungkan akses menuju ke resort tersebut telah ditutup untuk kegunaan orang awam, selain dikawal ketat petugas keselamatan.

Wartawan yang mahu membuat liputan mengenai majlis itu  juga dihalang daripada menghampiri kawasan resort dan diminta beredar.

“Maaf, sila pergi dari sini. Jangan ambil gambar apa pun. Kami hanya menjalankan tugas,” ujar salah seorang pengawal keselamatan di Amankila Resort, Bali.

Sejumlah petugas kebersihan yang menjalankan kerja-kerja membersihkan jalan menuju ke resort juga enggan memberikan sebarang ulasan tentang pernikahan BCL dan Tiko apabila menolak untuk ditemu bual.

Berdasarkan maklumat daripada salah seorang peniaga yang ditemui di sekitar lokasi, majlis pernikahan penyanyi itu bersama bakal suaminya yang juga ahli perniagaan bakal diadakan pada petang ini, namun enggan mendedahkan butirannya secara terperinci.

Ketua kabupaten Karangasem, Wayan Kariasa ketika ditemui pemberita mengesahkan majlis serba mewah selebriti terkenal itu akan diadakan dilokasi yang telah pun dinyatakan.

“Ya, memang benar BCL dan Tiko akan menikah di sini (Amankila Resort). Tapi majlisnya diadakan secara tertutup,” ujar Kariasa saat dihubungi CNN Indonesia.

Difahamkan, majlis pernikahan pelantun lagu Wanita Terbahagia itu hanya dihadiri 100 tetamu terdiri daripada ahli keluarga dan sahabat karib.

Terdahulu, seorang kakitangan Kantor Urusan Agama (KUA) Pasar Minggu, Jakarta Selatan dikenali sebagai Emma Fatmayani berkongsi jangkaan lokasi pernikahan BCL adalah di KUA Mengwi, Bali.

“Kedua-dua pihak sudah menghantar borang dan salinan dokumen yang diperlukan termasuk sijil kematian suami BCL iaitu Allahyarham Ashraf Sinclair.

“Pihak Tiko juga sudah menyerahkan salinan dokumen pengesahan perceraiannya sebelum ini,” ujarnya.

Perkongsian tersebut sekali gus mendedahkan Tiko berstatus duda.

Sebelum ini, gosip percintaan BCL dan Tiko hangat diperkatakan selepas aktres itu memuat naik video sambutan ulang tahun ke-40 pada Mac lalu.

Aksi mesra dalam video tersebut mencetuskan spekulasi pasangan itu menjalin hubungan istimewa.

Selain itu, Tiko juga dilihat kerap hadir ke majlis keluarga BCL termasuk sambutan Aidilfitri tahun ini.

Terdahulu, BCL melalui kehidupan sebagai ibu tunggal selepas Ashraf Sinclair meninggal dunia akibat serangan jantung pada 18 Februari 2020.

Hasil perkahwinan dengan Ashraf mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Noah Aidan Sinclair.

Sejak hidup solo, BCL kerap terpalit dengan gosip cinta bersama beberapa selebriti lelaki Indonesia seperti Ariel Noah dan Reza Rahadian.

Sumber: Kosmo

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here