KUALA KRAI, 27 November- Seorang bayi rentung selepas kenderaan dinaiki bersama ibu bapanya terlibat kemalangan sebelum terbakar awal pagi ini.
Menurut Pegawai Operasi, PBK II Mohd Fadzil bin Musa, kemalangan itu melibatkan sebuah kereta jenis Honda Jazz yang terbabas dan melanggar tiang lampu lalu terbakar.
Beliau berkata nahas berlaku sekitar pukul 4.04 pagi di Jalan Gua Musang-Kuala Krai.
Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai dan BBP Sungai Durian bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan berhubung kejadian.
“Terdapat tiga mangsa iaitu seorang lelaki dewasa yang melecur seluruh tubuh, seorang perempuan mengalami cedera ringan dan seorang lagi mangsa adalah bayi lelaki.
“Bagaimanapun, bayi tersebut dijumpai rentung di dalam kereta itu akibat terperangkap,” katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Fadzil berkata, mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, manakala kedua-dua mangsa cedera diserahkan kepada petugas perubatan untuk rawatan lanjut.