Tuesday, December 10, 2024
HomeBERITABayi Hidap Kecacatan Jantung Kompleks, Perlukan RM100,000 untuk Pembedahan

Bayi Hidap Kecacatan Jantung Kompleks, Perlukan RM100,000 untuk Pembedahan

GEORGE TOWN – Sepasang suami isteri terpaksa menerima hakikat mengenai penderitaan dialami bayi sulung mereka yang disahkan menghidap kecacatan jantung kompleks.

Shahrul Nizam Ahmad, 33, yang bekerja sebagai pemandu lori dan isterinya, Siti Nabila Sahifulantkras, 35, juga terpaksa bekerja keras untuk mencari dana sebanyak RM100,000 bagi urusan pembedahan Muhammad Eusoff Al Amin yang kini baru berusia satu tahun.

Pengerusi badan amal One Hope Charity and Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, bayi comel itu dikesan menghidap masalah jantung ketika dilahirkan dan doktor sebelum itu juga telah mengesan degupan jantung Eusoff yang tidak normal.

“Selepas lahir menerusi kaedah pembedahan, bayi itu mengalami hipoksemia (darah kekurangan oksigen) dan sianosis (jari dan bibir kebiruan) sebelum dikejarkan ke Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU).

“Eusoff kemudian dikesan mengalami kecacatan jantung jarang berlaku iaitu Tetralogy of Fallot (TOF) dengan Pulmonary Atresia (PA). Semasa berusia sebulan, dia telah menjalani pembedahan pemasangan stent di jantungnya,” katanya.

Jelas Sui Hau lagi, keadaan ke­sihatan bayi tersebut kini sema­kin runcing apabila pemeriksaan doktor baru-baru ini mendapati masalah stenosis kardiovaskular atau saluran darah sempit menjadi bertambah teruk.

“Anak lelaki tunggal ini telah menjalani pembedahan untuk melebarkan saluran darah, namun ia hanya penyelesaian sementara. Jantungnya boleh terhenti bila-bila masa sekiranya tidak dibedah.

“Dia perlu menjalani pembedahan membaiki lubang di jantung, injap jantung dan sistem kardiovaskularnya secepat mungkin kerana keadaan itu boleh meragut nyawa,” katanya.

Dalam pada itu, jelas Sui Hau lagi, keluarga bayi itu tampil ke pejabat One Hope Charity and Welfare di Seberang Perai baru-baru ini bagi memohon bantuan dana RM100,000 kerana tidak berkemampuan.

“Shahrul Nizam (bapa) memperoleh gaji pokok sekitar RM2,300 sebulan, manakala Siti Nabila pula tidak bekerja,” katanya.

Orang ramai yang berhasrat membantu meringankan beban keluarga Muhammad Eusoff boleh menyalurkannya menerusi akaun Public Bank Berhad atas nama One Hope Charity & Welfare bernombor 3201428817 atau layari www.onehopecharity.org.

Sumber – Kosmo! Online

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Shah Rukh Khan Tak Guna Orang Dalam

0
DIJULANG sehingga mengumpul jutaan peminat di luar negara, Raja Bollywood Shah Rukh Khan atau SRK sebenarnya contoh bintang dunia tidak punya seorang pun saudara...

CATEGORIES