PETALING JAYA: Pelakon yang ditawarkan watak ibu tidak perlu bimbang atau menganggap petanda kepada penghujung kerjaya seni.
Mengakui tidak mempunyai masalah memegang watak ibu, aktres berkaliber, Nabila Huda mengingatkan pelakon perlu bersedia membawakan pelbagai jenis watak kerana itu adalah tanggungjawab dan tuntutan kerja sebagai pelakon.
“Tak perlu nak rasa bimbang atau hilang keyakinan diri hanya kerana ditawarkan watak ibu.
“Sebagai pelakon, ia menjadi tanggungjawab membawakan apa sahaja watak diarahkan.
“Saya sendiri seorang yang gemarkan cabaran dan bila ditawarkan watak ibu, ia beri peluang untuk saya berkarya dan meneroka karakter dengan lebih meluas.
“Benda ini terletak pada ‘mindset’ kita sebenarnya,” katanya kepada BH Online.
Nabila atau lebih akrab disapa Abil mengulas watak Sarina iaitu ibu kepada Aedy Ashraf yang dilakonkannya dalam drama bersiri, Lelaki Itu.
Berkongsi lanjut watak dalam naskhah itu, pemegang trofi Pelakon Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia Ke-28 itu berkata, dia membuat persiapan rapi agar watak ibu kepada aktor remaja itu boleh diterima ramai dan logik.
“Saya terkejut masa mula dapat tahu akan bawa watak ibu kepada Aedy.
“Cabarannya, bagaimana nak beri karakter nampak logik. Untuk memastikan watak ini nampak realistik, saya ada cara tersendiri iaitu membuat perubahan dari segi intonasi suara.
“Cakap kena perlahan dan gerak tubuh kena ubah dalam naskhah ini. Saya kena banyak membongkok.
“Dari segi penampilan, saya tak perlu nak ada uban. Cukup sekadar teknik solekan iaitu kena buat ‘eye bag’ dan bagi muka nampak lesu dan kusam.
“Penampilan pun memainkan peranan penting iaitu dari segi pemilihan pakaian supaya nampak lebih berusia,” ujarnya pada majlis sidang media RaRa Tonton Drama Sangat Fans Special: 2024 Ramadan Raya Reveal di Damansara Perdana, di sini, baru-baru ini.
Terdahulu, drama Lelaki Itu bakal memulakan siarannya malam ini menerusi slot Samarinda TV3 pada setiap Isnin hingga Jumaat, jam 10 malam.
Selain Nabila, drama terbitan Rumah Karya Citra Production itu turut menampilkan barisan pelakon hebat lain iaitu Datuk Adi Putra, Che Puan Sarimah Ibrahim, Nur Fazura, Nadia Brian dan Hannah Delisha.
Sumber: Berita Harian