BESUT, 7 November- Satu mayat bayi perempuan cukup sifat ditemui dalam tandas sebuah surau di Jertih, semalam.
Ketua Polis Daerah Besut Supt Abdul Rozak Muhammad menerusi satu kenyataan memaklumkan pihaknya menerima maklumat berhubung perkara berkenaan pada pukul 11 pagi.
Katanya, mayat bayi itu dijumpai oleh beberapa penduduk yang terhidu bau busuk dari dalam salah satu tandas surau berkenaan pada pukul 10 pagi.
“Mereka kemudiannya masuk ke dalam tandas itu untuk memeriksa dan menemukan satu baldi berwarna merah dalam keadaan telungkup di atas lantai tandas.
“Ketika baldi itu diangkat, saksi ternampak mayat bayi di dalam plastik, lalu memaklumkan kepada Ahli Jawatankuasa (AJK) surau yang kemudiannya menghubungi polis.
“Pemeriksaan oleh bahagian Forensik D10 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu mendapati mayat bayi perempuan itu dalam keadaan cukup sifat, dan tiada kecederaan ketara dikesan pada mayat.
“Berdasarkan keadaan mayat yang sudah berbau, bayi itu dipercayai telah meninggal dunia lebih 48 jam,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Tambah Abdul Rozak, mayat telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Besut untuk bedah siasat.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian.