Kuala Lumpur: Pelawak yang kini penyampai radio, Chiwan Chilok sudah tunjukkan prestasi memberangsangkan ketika mengendali segmen Suria Petang di Suria FM meskipun baru bertugas beberapa minggu
Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abdul Majid atau DJ Lin berkata, dia berasa kagum dengan perkembangan positif ditunjukkan oleh Chiwan itu sebagai orang baharu dalam industri radio.
“Baru bertugas dua minggu, Chiwan menunjukkan perkembangan sangat bagus dan positif. Dia cepat belajar kendali panel dan sistem walaupun tiada latar belakang dalam (bidang) radio.
“Sebagai orang baharu dalam industri radio, dengan perkembangan ditunjukkan itu menunjukkan dia betul-betul serius. Saya gembira melihat perkembangan sangat cepat ini. Potensi dia sangat baguslah.
“Kalau betul-betul beri tunjuk ajar dan pendedahan, saya yakin bintang dia (Chiwan) akan menyinar. Dia juga memiliki pakej yang sangat unik, ramah, dan amat menghormati orang,” katanya.
DJ Lin percaya, Chiwan atau nama sebenarnya Muhammad Azwan Sabri, 34, mampu bersinar dalam bidang penyampaian radio berbekalkan kualiti sifat dimilikinya itu.
“Sifat-sifat sebegitu sangat penting sebagai penyampai radio untuk memudahkan urusan. Baik dengan pendengar mahupun peminat. Saya percaya, pemilihannya di Suria FM sangat tepat.
“Semoga Chiwan terus melakar pencapaian demi pencapaian dalam industri radio di Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, DJ Lin juga belum dapat berkongsi rating terkini untuk segmen kendalian Chiwan dan Sharifah Shahirah atau Kak Rara berkenaan.
“Masih terlalu awal untuk menilai kerana ia akan mengambil masa. Tak boleh melihat secara drastiklah dari segi maklum balas juga. Hal itu ada prosesnya,” katanya.
Terdahulu, Chiwan mendapat pelbagai maklum balas pendengar terhadap coraknya mengendalikan Segmen Petang. Ada yang komen hambar dan tidak ketinggalan meminta dia diberikan masa untuk membukti kemampuannya.
Chiwan mengambil alih segmen Suria Petang yang sebelum ini dikendalikan Sharifah Shahirah bersama Tyzo.
Bagaimanapun, Tyzo ditamatkan perkhidmatan bersama stesen radio terbabit pada Januari lalu.
Sumber: Harian Metro