Bapa Terima Hon 2 Kali Di Jalan Raya, Rupanya ‘Prank’ Hari Lahir

0
247

Kuala Lumpur: “Hari ini hari lahir bapa saya. Tolong bunyikan hon sebanyak dua kali,” itu antara tulisan di atas sekeping kertas yang dilekatkan di belakang kereta seorang lelaki oleh anak sulungnya sebagai gurauan sempena ulang tahunnya.

Gurauan itu dilakukan Nadiah Rusman, 30, sebagai kejutan ulang tahun kelahiran bapa, Rusman Ahthadari, 61, pada 10 Januari lalu yang mendapat perhatian di TikTok dan video perkongsiannya turut meraih 5.4 juta tontonan di akaun itu.

Nadiah berkata, dia seorang yang suka memberi kejutan dan bergurau dengan keluarga terutama ibu bapa, malah setiap tahun juga dia tidak pernah terlupa meraikan ulang tahun kelahiran mereka sejak lima tahun lalu.

Menurutnya, dia melakukan pelbagai kejutan dan gurauan untuk ‘syurganya’ itu dan terbaru minggu lalu untuk meraikan hari lahir ke-61 bapa tersayang bersama keluarga besarnya.

“Saya mengadakan sambutan hari lahir abah di sebuah hotel di Johor Bharu dan sebelum itu dalam perjalanan ke hotel saya sempat ‘prank’ (bergurau) abah dengan lekatkan kertas yang tertera tulisan hari ini hari lahirnya dan minta bunyikan hon sebagai tanda ucapan kepada abah.

“Memang sepanjang jalan ada kenderaan yang bunyikan hon dan abah pelik juga tetapi dia tidak sangka itu adalah ‘prank’.

“Untuk ‘cover’ saya tanya abah mungkin yang hon itu kawannya tetapi dia nafikan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, perancangan itu turut dibantu ibu dan dua adiknya, malah sehingga tiba di hotel barulah bapa menyedari kejutan yang dibuatnya dan memberi reaksi bersahaja tetapi terharu dengan usaha untuk menggembirakannya.

“Saya tanya abah kenapa tak marah orang asyik hon tetapi dia cakap mungkin orang yang hon itu hanya mahu ‘menyapa’ saja kerana hon dibunyikan dua kali saja dan tidak panjang, kalau hon panjang itu tandanya pemandu itu marah.

“Karakter abah menghiburkan dan dia seorang yang ‘sporting’ bukan pemarah lagipun sebagai anak saya juga tahu batas untuk ‘prank’ abah.

“Alhamdulillah biarpun abah suka sembunyi perasaan tetapi abah suka dan hargai apa yang saya buat.

“Antara ‘prank’ yang pernah saya buat untuk abah ialah pakai maskot beruang memberi kejutan kepadanya di pejabat dan membawa abah serta keluarga ke Putrajaya dari Johor Bharu untuk kejutan piknik sempena hari lahirnya,” katanya.

Menurutnya yang bekerja di Singapura, dia seorang anak yang suka menzahirkan penghargaan buat insan tersayang dengan kejutan diilhamkan sendiri supaya ia dapat mencipta memori sementara ibu bapanya masih ada di dunia ini.

“Bagi saya keluarga adalah keutamaan terutama mama dan abah sebab itu saya akan melakukan apa saja untuk mereka gembira.

“Malah, ini juga antara cara saya menghargai mereka yang sebenarnya semua itu tidak dapat membalas semua jasa dan pengorbanan membesarkan saya sehingga berjaya.

“Semua orang mempunyai cara masing-masing untuk bahagia dan bagi saya inilah kebahagiaan saya, melihat senyuman dan kegembiraan mama dan abah sudah buat saya juga gembira.

“Menggembirakan mereka juga membuatkan saya percaya Allah SWT sentiasa mempermudahkan dan meluaskan rezeki kita,” katanya keluarga tinggal di Taman Bukit Kempas, Johor.

Berhubung video TikToknya, Nadiah berkata, ia hanya untuk kenangan keluarga saja serta apa dilakukan itu adalah diri sebenarnya dan bukan semata-mata untuk konten, malah setiap tahun rakan juga sentiasa menunggu kejutan yang akan dilakukan untuk bapa.

“Video itu terima banyak komen dan reaksi netizen termasuk ada yang cakap sedih dan rindukan bapa mereka.

“Saya juga mahu berterima kasih dengan semua yang sehingga kini masih beri ucapan hari lahir dan mendoakan abah,” katanya.

Sumber: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here