PETALING JAYA – Suami kepada dramatis, Datin Seri Noniswara Baharuddin, Datuk Seri Dr. Sheikh Nordin Sheikh Ahmad meninggal dunia pada pukul 12.30 tengah malam tadi.
Berita pemergian Allahyarham disahkan isterinya yang juga pelakon drama Melastik Ke Hatimu menerusi hantaran dalam laman sosial.
Noniswara berkata, urusan mandi serta solat jenazah disempurnakan di Ampang, Selangor pagi ini, manakala pengebumian dijalankan di kampung suaminya di Pahang.
“Jenazah suami saya Sheikh Nordin Sheikh Ahmad dimandi dan disembahyangkan di Masjid Mustaqim Ampang pukul 8.30 pagi sebelum dibawa ke kampungnya di Kuala Krau, Temerloh, Pahang untuk dikebumikan,” katanya.
Daripada sumber terdekat, difahamkan Allahyarham sebelum ini ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) di sebuah hospital sejak sebulan lalu berikutan serangan angin ahmar.
Noniswara, 54, mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan itu pada tahun 2015 menerusi perkahwinan ketiganya.
Sementara itu, pemergian Sheikh Nordin turut dirasai menantunya, penyanyi MK K-Clique apabila turut mengulang siar hantaran berupa ucapan takziah daripada rakan dalam Instagram Story.
MK atau Muhammad Hairi Amin Hamdan, 27, berkahwin dengan anak Sheikh Nordin, Siti Hajaar Sheikh Nordin pada 16 Jun lalu.
Ketika hayatnya, Allahyarham dikenali sebagai individu yang mesra dan merendah diri selain gemar melakukan kerja kebajikan terutama membabitkan pengajian agama.
Sejak tahun lalu Syeikh Nordin menjadikan rumah agam miliknya di Kampung Batu Gading, Temerloh dinamakan Dato’ Syeikh Residences sebagai pusat tahfiz dan sekolah agama.
Kemudahan tersebut dibuka kepada penduduk kampung dan keluarga yang mahu anak-anak mereka mendalami ilmu agama.
Menariknya, seni bina kediaman tersebut mengambil inspirasi beberapa buah bangunan yang terdapat di Asia Barat, Turki, China dan Uzbekistan.
Sumber: Kosmo