Bapa Marah Stacy Gara-Gara Buat Persembahan Berkisarkan Mendiang Abang

0
71
Foto: Kosmo

PETALING JAYA – Penyanyi Stacy mendapat teguran daripada bapanya setelah menyampaikan persembahan yang berkisarkan tentang abang kandungnya, mendiang Chaq, semasa konsert minggu kelima The Hardest Singing Show (THSS) kelmarin.

Stacy, atau nama sebenarnya Ummu Shaikhah Stacy Anam, 34, menyatakan bahawa keluarganya masih berdukacita atas pemergian Chaq yang meninggal dunia secara mengejut pada Mac tahun lalu di Hospital Sibu, Sarawak.

“Sebenarnya tadi (kelmarin) ayah saya telefon. Dia marah kerana mengapa dijadikan persembahan. Mereka tidak tahu tentang persembahan ini.

“Sejujurnya, saya sendiri masih belum mampu mengatasi perasaan rindu sejak kehilangan dia. Saya fikir dengan membuat persembahan yang ditujukan khas untuknya, saya mungkin akan merasa tenang. Namun, saya ternyata silap kerana perasaan rindu itu tetap ada,” katanya kepada Kosmo! Online.

Penyanyi lagu “Kisah Dongeng” itu juga memberitahu bahawa sejak minggu pertama program THSS, dia sering mengalami serangan panik sebelum membuat persembahan. Dia mengakui bahawa hal tersebut sangat jarang berlaku sebelum Chaq meninggal dunia.

“Saya sangat jarang mengalami serangan panik, tetapi sejak minggu pertama program, saya mengalami serangan panik sebelum membuat persembahan. Mungkin kerana ada perkara seperti ini yang belum saya ‘selesaikan’,” ujarnya.

“Bagaimanapun alhamdulilah persembahan menjadi bila saya keluarkan emosi sebenar. Tetapi, saya perlu banyak belajar lagi untuk menyampaikan secara betul terutama persembahan yang melibatkan emosi,” katanya.

Stacy mendedikasikan persembahan malam itu khusus untuk Chaq dan berterima kasih kepada abangnya yang menjadi pendorong baginya untuk menceburi bidang nyanyian.

Sebelumnya, Chaq, atau nama sebenarnya Camellus Delleli Anam, meninggal dunia selepas 10 hari bertarung nyawa di hospital akibat kemalangan jalan raya. Dalam pada itu, persembahan yang berlangsung di Pusat Konvensyen CIDB, Cheras kelmarin menyaksikan Aepul Roza meraih tempat pertama dengan jumlah markah 90.53 peratus.

Sementara itu, Stacy berada di posisi kedua dengan 84.17 peratus diikuti oleh Putera Muhammad (83.21 peratus), De Fam (81.75 peratus), Aisha Retno (81.18 peratus), Ayda Jebat (78.10 peratus), dan Zizi Kirana (67.30 peratus).

Tiada penyingkiran diumumkan pada minggu tersebut.

Konsert THSS diadili oleh tiga juri tetap iaitu Datuk Seri Rossa, Edry Abdul Halim, dan Zizan Razak, manakala juri jemputan bagi minggu itu ialah Datuk Yusry Abdul Halim.

Untuk makluman, juara program tersebut akan membawa pulang wang tunai bernilai RM150,000 dan trofi sumbangan Astro.

Sumber: Kosmo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here