Bapa Amuk Ustaz Gunting Rambut Anak, Anggap Insiden Mengecewakan

0
58

KUALA LUMPUR: Insiden seorang bapa mengamuk di depan sekolah agama kerana rambut anaknya digunting tanpa keizinan telah mengecewakan para guru dan ibu bapa.

Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Juhari Mohamad Nor, berkata isu itu dapat diselesaikan secara harmoni dengan tiga pendekatan.

“Kejadian seperti ini tidak sepatutnya berlaku kerana saya percaya isu ini dapat diselesaikan secara harmoni melalui beberapa cara. Pertama, adakan perjumpaan bersemuka antara ibu bapa dan guru untuk memperkukuh hubungan komunikasi antara kedua-dua pihak.

“Sama ada melalui perbincangan atau perjumpaan berkala dengan murid-murid yang kita rasa perlu diberi perhatian.”

“Kejadian sebegini melibatkan kes tertentu atau kesihatan yang memerlukan kita mendapatkan maklumat daripada ibu bapa. Oleh itu, saya percaya langkah pertama adalah memperkukuh komunikasi bersemuka dengan murid tersebut,” katanya hari ini.

Beliau menambah bahawa langkah kedua ialah menggunakan teknologi untuk komunikasi kerana setiap sekolah mempunyai kumpulan WhatsApp antara kelas dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

“Jadi, guru, guru kaunseling, atau pihak pentadbir boleh menghubungi ibu bapa terlebih dahulu. Dengan cara ini, mungkin mereka lebih jelas sebelum datang ke sekolah dan menyerang guru,” katanya.

Terdahulu, tersebar berita seorang bapa mengamuk di hadapan sekolah agama kerana rambut anaknya digunting oleh ustaz tanpa keizinan.

Guru itu bertindak demikian kerana pelajar tersebut melanggar peraturan dengan menyimpan rambut panjang.

“Rambut panjang tak akan menyebabkan masuk neraka, kau tahu tak? Bagaimana rambut Rasulullah? Aku tanya kau,” tengking bapa pelajar itu.

Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tular sejak semalam, lelaki itu datang ke sekolah dan memarahi guru di hadapan anaknya dan beberapa individu lain.

Juhari, yang juga Presiden Kongres Kesatuan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres), berkata bahawa hubungan secara bertulis juga perlu diambil kira.

“Pihak sekolah atau guru perlu menghantar surat kepada ibu bapa jika perlu. Ibu bapa perlu diberitahu mengenai apa yang dirancangkan oleh pihak sekolah terhadap murid-murid yang terlibat.

“Dalam kes ini, saya rasa mungkin ada salah faham di mana maklumat yang disampaikan oleh murid itu tidak tepat, sehingga menyebabkan bapa pelajar tersebut mengeluarkan kenyataan seperti ‘kerana rambut panjang boleh masuk neraka’.

“Oleh itu, saya rasa untuk mengharmonikan keadaan, kita perlu memperkukuh hubungan dengan ibu bapa melalui komunikasi. Dari komunikasi bersemuka dan teknologi serta komunikasi secara bertulis. Semoga kejadian ini tidak berulang lagi,” katanya.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here